Mayat seorang lelaki ditemukan di tepi sungai berhampiran sebuah kolej swasta di Bandar Sunway malam tadi, mencetuskan tanda tanya mengenai punca kematiannya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata kejadian itu disedari selepas pihak polis menerima panggilan daripada orang awam pada jam 7.10 malam. Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mayat tersebut hanya berpakaian seluar panjang dan dipercayai telah meninggal dunia sejak beberapa waktu berdasarkan keadaan fizikalnya.
Beliau menjelaskan bahawa identiti dan bangsa mangsa belum dapat dikenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui di lokasi. Pemeriksaan lanjut di tempat kejadian juga sukar dilakukan berikutan keadaan mayat yang tidak sempurna.

Mayat berkenaan telah dihantar ke Jabatan Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian dan mengenal pasti identiti si mati. Kes tersebut setakat ini diklasifikasikan sebagai Laporan Kematian Mengejut (SDR) sementara menunggu laporan penuh.
Pihak polis dalam pada itu menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau kehilangan ahli keluarga agar tampil membantu siasatan.
Sumber: Buletin TV3
