Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg, kini mencatat sejarah sebagai individu kedua terkaya di dunia buat pertama kalinya, melepasi kedudukan pengasas Amazon, Jeff Bezos.
Peningkatan tersebut berlaku susulan nilai saham Meta Platforms Inc yang terus melonjak.
Menurut laporan Bloomberg, nilai kekayaan Zuckerberg yang kini berusia 40 tahun, dianggarkan sekitar AS$206.2 bilion (RM871.99 bilion), lebih tinggi sebanyak AS$1.1 bilion (RM4.65 bilion) berbanding Bezos.
Walaupun begitu, Zuckerberg masih ketinggalan sekitar AS$50 bilion (RM245 bilion) di belakang Elon Musk, yang kini kekal sebagai orang terkaya di dunia.
Peningkatan mendadak saham Meta berkait rapat dengan penekanan Zuckerberg terhadap penggunaan model bahasa yang dikuasakan kecerdasan buatan (AI).
Selain itu, Meta juga melancarkan pelbagai projek jangka panjang lain, termasuk kaca mata AI Orion yang diperkenalkan pada bulan lalu, yang dilihat berpotensi untuk mengubah cara komunikasi manusia di masa hadapan.
Zuckerberg menyatakan bahawa Meta AI kini mempunyai hampir 500 juta pengguna aktif di seluruh dunia, dan angka tersebut dijangka terus meningkat apabila produk ini dilancarkan di lebih banyak negara besar.
Artikel berkaitan: Mark Zuckerberg Umum Akan Berhentikan Lebih 11,000 Pekerja
Artikel berkaitan: Gara-gara FB, Whatsapp & G ‘Down’, Mark Zuckerberg Rugi Lebih AS$6 Bilion
Zuckerberg, yang memegang 13 peratus kepentingan dalam syarikat Meta yang berpusat di Menlo Park, California, turut menyaksikan kekayaannya meningkat sebanyak AS$78 bilion (RM390 bilion) sepanjang tahun ini.
Peningkatan itu juga memperkukuh kedudukan Meta dalam industri teknologi global, dengan pelbagai inisiatif baharu yang difokuskan untuk mengukuhkan kehadiran AI dalam kehidupan seharian.
Sementara itu, Bernard Arnault, pemilik LVMH, yang sebelum ini berada di kedudukan ketiga, kini jatuh ke tempat kelima dengan nilai kekayaan sekitar AS$185.6 bilion (RM782 bilion).
Kejatuhan ini mencerminkan persaingan sengit dalam kalangan jutawan dunia, di mana perubahan dalam nilai saham syarikat memainkan peranan penting dalam menentukan kedudukan individu-individu ini.