Adakah anda rasa bahagia dengan kerjaya anda sekarang? Menurut dapatan terbaharu daripada Indeks Kebahagiaan Tempat Kerja oleh Jobstreet by SEEK, seramai 70% pekerja di Malaysia menyatakan bahawa mereka berasa bahagia atau sangat bahagia di tempat kerja.
Walaupun angka itu nampak positif, namun kajian yang melibatkan kira-kira 1,000 individu ini mendedahkan satu realiti yang agak membimbangkan di sebalik senyuman para pekerja.
Bahagia Tapi ‘Burnout’
Walaupun majoriti pekerja rasa dihargai (68%), kebahagiaan itu datang dengan ‘harga’ yang tinggi. Kajian mendedahkan bahawa:
-
Hanya 36% pekerja yang berpuas hati dengan tahap stres mereka.
-
Seramai 41% pekerja mengakui mereka berasa sangat letih atau mengalami burnout disebabkan bebanan kerja.
-
Pekerja yang tidak bahagia didapati dua kali ganda lebih cenderung untuk mengalami burnout berbanding rakan sekerja yang bahagia.

Apa Sebenarnya Yang Buat Kita Bahagia?
Rupa-rupanya, faktor utama yang menyumbang kepada kebahagiaan rakyat Malaysia di pejabat bukanlah semata-mata kerana gaji, tetapi lebih kepada elemen harian seperti:
-
Lokasi tempat kerja (69%).
-
Rakan sekerja (65%).
-
Tugasan harian yang dilakukan (65%).
Menariknya, Pengarah Urusan Jobstreet by SEEK Malaysia, Nicholas Lam, menekankan bahawa tujuan atau ‘purpose’ dalam bekerja adalah kunci utama yang mengekalkan kebahagiaan jangka panjang. Sebanyak 64% pekerja di Malaysia berpuas hati apabila mereka merasakan kerja mereka mempunyai makna yang lebih besar daripada sekadar rutin harian.
Gen Z Paling ‘Stres’ Berbanding Generasi Lain?
Kajian ini juga mendapati tahap kebahagiaan di tempat kerja tidak sama rata merangkumi semua peringkat umur.
-
Gen Z dilaporkan mempunyai tahap kebahagiaan yang lebih rendah dan tahap stres yang lebih tinggi berbanding generasi lain.
-
Kira-kira 40% daripada Gen Z merasakan pengurangan stres adalah kunci utama untuk meningkatkan kebahagiaan mereka, berbanding hanya 27% bagi pekerja Gen X.
Sektor Mana Paling Bahagia?
Jika dilihat mengikut industri, sektor Perkhidmatan Profesional dan Pembinaan mencatatkan tahap kebahagiaan tertinggi iaitu sebanyak 78%. Manakala, sektor Runcit, Hospitaliti dan Sukan berada di tangga tercorot dengan hanya 55%.

Pihak Jobstreet menyarankan agar majikan lebih peka dengan keperluan berbeza mengikut generasi dan membina budaya kerja yang lebih menyokong bagi mengurangkan risiko burnout demi kejayaan perniagaan jangka panjang.
Sumber: Jobstreet
