Nampaknya mimpi ngeri sudah bermula dan kita dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati kerana satu kes COVID 19 varian UK B117 telah dikesan di Malaysia hari ini.
Menurut Harian Metro, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi akaun Facebooknya berkata, kes itu dilaporkan berasal dari seorang pengembara yang mempunyai sejarah perjalanan ke United Kingdom (UK) pada Disember lepas.
https://www.facebook.com/578835322140360/posts/3995870917103433/
“Pengembara ini didapati positif pada 28 Disember lalu dan (sudah) diasingkan untuk rawatan lanjut.
“Sejak Oktober 2020, Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan pemantauan terhadap kesemua pengembara dari negara yang melaporkan kes mutasi varian UK B.1.1.7 ini termasuk United Kingdom, Belanda, Singapura, Turki, Filipina dan India.
“Sebanyak 968 sampel diuji sejak Oktober lalu dan melakukan genome sequencing bagi mengesan jenis mutasi UK B.1.1.7 ini kepada 24 sampel,” katanya.
Menurut Dr Noor Hisham, setakat 11 Januari, tiada penularan dalam negara yang dikesan berkaitan dengan virus mutasi UK B117 itu.
KKM melalui Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan akan sentiasa memantau perkembangan mutasi UK B.1.1.7 ini dan akan memaklumkan dari semasa ke semasa.
Walaupun mutasi UK B.1.1.7 ini tidak didapati menyebabkan simptom yang teruk, ia boleh menular dengan mudah dan cepat,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menasihati orang ramai untuk amalkan kebersihan kendiri dengan kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka di tempat awam, dan menjaga penjarakan fizikal setiap masa.
Semoga kita sentiasa dilindungi-Nya.