Setiap orang pasti mempunyai nama dan menurut amalan, nama yang baik akan diberikan oleh ibu bapa kerana nama yang baik merupakan doa.
Pun begitu, tular di media sosial semenjak dua ini tentang trend ibu bapa pada hari ini yang tidak mahu meletakkan ‘bin’ atau ‘binti’ pada nama anak ketika mendaftarkan kelahiran.
Sekiranya dilihat pada syarat permohonan di Jabatan Pendaftaran Negara, tidak ada syarat yang mewajibkan untuk ‘bin’ atau ‘binti’ ini diletakkan dalam nama anak.
Namun, jika penjaga mahu menggugurkan perkataan ‘bin’ dan ‘binti’ pada nama anak, mereka perlu mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara.
Berikutan dengan tularnya trend ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah menjelaskan perkara berkenaan dalam penulisannya Bayan Linnas, Siri Ke-267 baru-baru ini.
Menurut penjelasan, dari aspek adat setempat memang sejak dahulu di Malaysia, setiap nama bagi individu muslim akan diletakkan ‘bin’ atau ‘binti’ berpandukan tradisi perletakan nama dan nasab para Rasul, Sahabat dan seluruh ulama Islam.
Jadi, tidak benar tanggapan sebahagian masyarakat yang mengatakan bangsa Arab sendiri tidak menggunakan perkataan tersebut dalam nama mereka sedangkan ianya masih ada sehingga hari ini kerana bangsa Arab merupakan bangsa yang amat mementingkan asal usul keturunan mereka.
Amalan Di Malaysia
Menurut penjelasan pejabat berkenaan lagi, apa yang di amalkan oleh masyarakat Islam di Malaysia adalah selari dengan amalan bangsa Arab dan dikira sebagai ‘uruf (adat setempat).
Namun, dalam konteks Islam, nasab dan keturunan merupakan perkara penting yang perlu dipelihara dengan baik demi menjaga sistem sosial dalam masyarakat.
Jika tidak, ia boleh menyebabkan kerosakan terhadap institusi kekeluargaan kerana boleh mengelirukan susur galur keturunan selain ia juga akan menimbulkan fitnah dan masalah terhadap pembahagian harta pusaka.
Meskipun tanpa meletakkan ‘bin’ atau ‘binti’ tidak akan merosakkan institusi kekeluargaan dan tidak jejaskan nasab, namun akibat normalisasi amalan ini kelak akan mengakibatkan penyalahgunaan sebahagian individu yang ada berniat jahat.
Dalam konteks ini, contoh yang diberikan adalah sekiranya tiada ‘bin’ atau ‘binti’, seseorang boleh membuat helah bagi menyembunyikan status anak angkatnya.
Sebagai kesimpulan, tidak meletakkan ‘bin’ atau ‘binti’ pada nama anak ketika pendaftaran adalah sah di sisi undang-undang, namun dari segi syarak meletakkan ‘bin’ dan ‘binti’ adalah penting.
Hal ini adalah bagi menjaga institusi kekeluargaan masyarakat Islam daripada sebarang kerosakan seperti yang disebutkan di atas.
Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Baca : Gara-gara Bapa Nikah Sembunyi Di Thailand, Anak Jadi Mangsa Terkahwin Dengan Abang Sendiri