in

Tular Video Alpaka Dalam Kedai Makan, MBMB Tegas Haiwan Tak Boleh Dibawa Masuk Premis

Alpaka

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menegaskan kehadiran haiwan, termasuk alpaka, di premis menjual makanan adalah satu kesalahan meskipun dipisahkan dengan dinding atau pintu.

MBSB tampil menjelaskan hal tersebut selepas tular sebuah video memaparkan seekor alpaka dikurung dalam ruang sempit di sebuah kedai makan hingga menimbulkan rasa simpati dan kebimbangan orang ramai terhadap kebajikan haiwan tersebut.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, perkara itu disahkan selepas beliau mengadakan lawatan bersama Datuk Bandar, Datuk Shadan Othman, ke premis berkenaan susulan isu tular tersebut.

Katanya, hasil tinjauan mendapati premis itu tidak beroperasi pada waktu pagi dan pihaknya akan mengadakan lawatan susulan pada sebelah petang atau malam.

“Dari pihak MBMB, meletakkan haiwan di premis perniagaan makanan adalah kesalahan. Walaupun dipisahkan dengan dinding dan pintu, tetap tidak dibenarkan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Artikel berkaitan: Tak Sabar Betul, Gelagat Seorang Lelaki Beri Susu Pada Alpaka Buat Netizen Terhibur

Artikel berkaitan: Beruang Makan Buah Berlebihan, ⁠Terpaksa Dibawa Ke Veterinar Kerana Sakit Perut

550786537 1436072168361856 6103396236289044917 n
ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem bersama Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman meninjau premis makanan yang tular kerana menempatkan seekor alpaca.

Menurut beliau, isu tersebut bukan sahaja melibatkan kelulusan permit dan kesesuaian lokasi, malah turut membabitkan bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Penyelarasan antara agensi akan dibuat oleh MBMB. Ia bukan sekadar soal alpaka, tetapi akan dijadikan rujukan pada masa depan untuk haiwan lain.

“Hari ini mungkin makan dengan kucing atau alpaka, tetapi esok lusa tanpa kawalan yang jelas, tidak mustahil ada pihak cuba bawa masuk gajah atau harimau pula ke dalam premis makanan,” ujarnya.

Video tular berkenaan setakat ini meraih lebih 120,000 tanda suka dan 2,000 komen, dengan rata-rata netizen mempersoalkan kebajikan haiwan tersebut selain tahap kebersihan dan keselamatan premis makanan terbabit.

Sumber: Facebook Mohd Noor Helmy

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.