Sebuah perniagaan kicap yang telah beroperasi sejak sebelum Perang Dunia Kedua, Kicap Hup Teck bakal tutup pada 28 Januari ini.
Kilang kicap berusia 111 tahun yang terletak di Gopeng, Perak itu dikendalikan oleh sebuah keluarga, terkenal dengan cara pembuatan kicap secara tradisional iaitu dengan menggunakan kaedah fermentasi dalam tempayan besar.
Artikel berkaitan: Tak Buat Marketing Bombastic Tapi Ada Di Setiap Rumah & Kedai, Ini Kisah Kicap Kipas Udang Habhal Yang Tak Ramai Tahu!
Tiada penerus legasi
Bagaimanapun, pemiliknya, Low Bak Tong, 72, menyatakan keputusan untuk menutup kilang adalah satu keputusan yang amat sukar.
Menerusi satu hantaran di Facebook, pemiliknya terpaksa menutup kilang kerana tiada penerus legasi dan perubahan zaman juga telah menyebabkan banyak industri lama lenyap termasuk empat kilang kicap lain di Gopeng, menjadikan Hup Teck yang terakhir.
“Kami amat sedih untuk mengucapkan selamat tinggal selepas 111 tahun, kami akan menutup operasi pada hari Selasa, 28 Januari 2025.
“Kami berterima kasih atas sokongan dan kesetiaan anda semua. Anda semua adalah sebab utama kejayaan kami dan kami berasa sangat dihargai kerana dapat berkhidmat kepada anda.”
Syarikat itu juga menggalakkan pelanggan untuk melawat kilang yang terletak di Gopeng, Perak, sepanjang beberapa hari terakhir operasi dan membeli baki stok yang masih ada.
“Sepatutnya jadikan warisan kebangsaan”
Rata-rata netizen di media sosial meluahkan rasa sedih dan terkejut dengan penutupan kilang kicap itu.
Bagi pengguna kicap tersebut, jenama itu bukan sahaja menjadi kicap kegemaraan malah sudah menjadi sebahagian memori dalam diri mereka.
Ramai yang berharap pihak kerajaan atau mana-mana pihak mengambil alih kilang kicap tersebut untuk dijadikan sebagai warisan kebangsaan dan diperkenalkan sebagai salah satu tarikan pelancongan bersejarah.
Sayangnya kalau dibiarkan terkubur begitu.