in

Pernah Mengharumkan Nama Di Australia, Rupanya Ini Realiti Sebenar Bekas Atlet Kebangsaan Era 60-an

Syaz Ft 2026 06 16T111323.564

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Zaman sekarang, pemain bola sepak profesional boleh hidup mewah dengan kontrak bernilai jutaan ringgit. Namun, segalanya jauh berbeza bagi generasi terdahulu yang beraksi demi lencana di dada.

Memetik laporan BERNAMA menerusi Harian Metro, bekas pertahanan Selangor dan skuad kebangsaan, Abdul Hamid Gani, 87, mengimbas kembali momen selepas membantu pasukan mara ke final Piala HMS Malaya 1966. Katanya, ganjaran yang diterima ketika itu hanyalah RM50!


Artikel berkaitan: Dokumen Kelahiran Pemain Warisan Harimau Malaya, Facundo Garcés Tular

Artikel berkaitan: “Bola sepak Malaysia tak layak untuk JDT” – Tunku Ismail Luah Kecewa

Malah, beliau berkongsi terpaksa ke bank sendiri untuk menuntut wang tersebut kerana pengurus memaklumkan tunai tidak mencukupi.

“Dalam hati saya masa itu, biarlah. Yang penting kami dapat bermain dan mewakili pasukan,” katanya.

Bukan itu sahaja, beliau turut berkongsi bahawa pingat yang diterima selepas final tersebut hanyalah sebesar duit syiling 10 sen.

Sebelum mencipta nama di tanah air bersama legenda seperti Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat, Hamid sebenarnya pernah menggegarkan Australia. Ketika menuntut dalam bidang ekonomi di Queensland University pada penghujung 1950-an, beliau menyertai kelab Merton Rovers dan dipilih mewakili skuad negeri Queensland pada 1963 dan 1964.

Melihat transformasi drastik bola sepak moden, Hamid mengakui pemain hari ini layak dibayar lumayan atas komitmen profesional mereka. Bagaimanapun, beliau sempat menitipkan pesanan ‘makan dalam’ buat pemain muda agar tidak hanyut dengan kemewahan dan bijak menyimpan duit.

“Dulu semangat itu lain. Kami mahu bermain kerana cintakan bola sepak. Sekarang ada pemain yang dapat gaji besar… tetapi jangan sampai lupa kenapa mereka mula bermain bola sepak.

Bola sepak ini tidak lama. Saya selalu pesan kepada pemain muda, simpan duit dan fikir masa depan,” katanya lagi.

Untuk rekod, pengorbanan luar biasa generasi Hamid Gani ini bukanlah sia-sia. Walau dengan kekangan fasiliti dan ganjaran yang kecil, era 60-an dan 70-an tetap terpahat sebagai zaman keemasan bola sepak Malaysia apabila skuad negara digeruni di peringkat Asia, selain berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Munich 1972 dan Moscow 1980.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.