in

“The real Badang” – Ini 5 Filem Wahid Satay Yang Semua Peminat Filem Klasik Kena Tengok!

Collage 21

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Semalam kita dikejutkan dengan berita pemergian seniman Wahid Satay selepas dia ditemui tidak bergerak di atas katil pada jam 8.30 pagi semalam (22 Mei). Menurut cucunya Mahirah Mohd Yassin, datuknya ini mempunyai penyakit kencing manis dan jantung.


Malah baru bulan lepas Wahid telah dimasukkan ke dalam Hospital Changi kerana jangkitan di jari kaki dan turut disahkan mempunyai serangan jantung ringan. Jenazahnya semalam telah pun dikebumikan di Singapura.

Latar belakang Wahid Satay

1105459

Wahid Satay dilahirkan di Sumatra Indonesia sebelum berhijrah ke Singapura pada tahun 1935 dan belajar di Sekolah Melayu Geylang. Pada tahun 1956, beliau telah mula bekerja di Cathay Keris Studios sebagai tukang cat.

Perwatakannya yang suka bergurau di set telah menarik perhatian pengarah BN Rao yang kemudiannya menawarkan watak sebagai penjual satay di dalam filem Pontianak.

Filem Pontianak ini telah mendapat kejayaan yang luar biasa sehingga menyebabkan Wahid memilih untuk menggunakan nama “Wahid Satay” sebagai nama pentasnya.

Selama lima dekad, Wahid telah pun membintangi lebih 30 filem dan berjaya mendapat beberapa anugerah seperti Pelakon Komedi terbaik di Festival Filem Asia 1966 dan anugerah Perdana Emas pada tahun 2007 di Pesta Perdana.

Jom kita imbau kembali filem-filem klasik yang pernah dilakonkan oleh Wahid Satay.

1. Badang (1962)

Sebelum wujudnya cerita Badang yang dilakonkan oleh Aliff Syukri, hero asal yang melakonkan watak Badang adalah Wahid Satay.

Filem yang diterbitkan pada tahun 1962 ini mengisahkan tentang seorang lelaki yang telah mendapat kekuatan luar biasa selepas makan muntah hantu yang mencuri ikan hasil tangkapannya. Namun begitu, Badang tidak boleh berkahwin dan jika pantang larang ini dilanggar, kekuatannya akan hilang dan dia akan mati dalam keadaan yang dahsyat.

2. Pontianak (1957)

Filem pertama lakonan Wahid Satay ini menceritakan tentang Wak Dollah yang menemui seorang budak kecil di dalam hutan dan telah mengambil dan menjaganya serta memberikan nama Comel.

Namun begitu, Comel membesar menjadi anak yang hodoh dan sering diherdik dan dikacau oleh orang-orang kampung. Wak Dollah turut menulis buku tentang perubatan tradisional dan sebelum meninggal dunia, Wak Dollah telah meminta Comel untuk menghapuskan kesemua bukunya.

Bagaimnapun, Comel terjumpa satu buku tentang ramuan menjadi cantik dan menggunakan buku itu untuk menukarnya menjadi cantik. Tapi ia turut datang dengan pantang larang di mana Comel tidak boleh merasa atau makan darah. Namun selepas suaminya digigit ular, Comel terpaksa menghisap racun ular dan sekaligus melanggar pantang larang dan mukanya menjadi lebih buruk dari asal.

Comel kemudiannya bertukar menjadi pontianak dan sering keluar malam untuk menghisap darah bagi mendapatkan kecantikannya. Comel akan menggoda lelaki dan menghisap darah serta membunuh orang-orang kampungnya.

Malangnya, filem ini dipercayai telah hilang tapi dekat bawah ni korang boleh tengok sekuel filem ini yang dinamakan Sumpah Pontianak.

3. Satay (1959)

Filem ini mengisahkan tentang seorang anak yatim piatu bernama Satay yang dijaga oleh Pak Ali yang mempunyai penyakit T.B. Pak Ali mahu mencari seorang ayah untuk Satay di sebuah taman. Kebetulan Kamil anak orang kaya baru sahaja putus cinta dengan kekasihnya Fatimah yang dianggap tidak setaraf oleh bapanya.

Kamil telah memandu kereta mewahnya ke taman yang sama dan Pak Ali telah memberitahu Satay bahawa lelaki tersebut merupakan bapanya. Terperangkap, Kamil terpaksa menerima Satay dalam kehidupannya.

4. Jula Juli Bintang Tiga (1959)

Filem ini mengisahkan tentang seorang puteri kayangan yang berkahwin dengan seorang putera raja dengan syarat putera tersebut perlu berjanji yang dia tak boleh tanya namanya, ibu bapanya mahu pun tempat tinggalnya.

Selepas tiga tahun, ekoran hasutan dan dengki, putera ini telah melanggar perjanjian tersebut dan isterinya ini perlu berpisah dengannya selama 15 tahun.

5. Puteri Gunong Ledang (1961)

Filem Puteri Gunong Ledang ini menceritakan tentang Sultan Mahmod yang obses dengan kecantikan Puteri Gunong Ledang sehingga dia tergamak mengerah rakyat jelatanya untuk menunaikan tujuh syarat yang diberikan oleh Puteri Gunong Ledang untuk berkahwin dengannya iaitu:

  • Jambatan emas dari istana Melaka ke puncak Gunung Ledang
  • Tujuh dulang hati nyamuk
  • Tujuh dulang hati agas
  • Tujuh dulang hati kuman
  • Tujuh tempayan air mata anak dara
  • Tujuh tempayan air pinang muda
  • Darah anaknya Tengku Ahmad

Semoga Allahyarham Pak Wahid ditempatkan di kalangan orang beriman.

 

Baca: Perjalanan Nordin Ahmad Untuk Jadi Pelakon & 3 Filemnya Korang Wajib Tonton!

Collage 9

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.