Tiga individu berdepan detik cemas selepas kenderaan jenis Mazda CX5 yang dinaiki mereka nyaris ditenggelami air dan dihanyut ke dalam laut sewaktu sedang bersiar dan menyusuri pantai di kawasan Pantai Temalah, Kota Tinggi, Johor.
Menerusi satu hantaran di Facebook yang dimuat naik oleh Polis Balai Kuala Sedili, kereta itu dinaiki seorang lelaki Melayu, seorang lelaki Sarawak dan seorang wanita Cina.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora, usaha mengelakkan kenderaan itu dari terus ditenggelami air dan dihanyutkan ke dalam laut turut dibantu dua penduduk kampung.
“Kenderaan yang terlibat telah berjaya ditarik keluar dengan menggunakan Kenderaan 4×4 ke atas darat di kawasan pantai tersebut,” katanya.
Katanya, kejadian itu berpunca daripada air laut yang ketika itu sedang pasang dan mangsa tidak menyedari kejadian air pasang kerana terlalu asyik serta kurang berpengalaman tentang keadaan laut.
Mujur, semua mangsa yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan dan dalam keadaan selamat.
Pun begitu, kejadian tersebut telah mengundang pelbagai reaksi netizen. Rata-ratanya berasa hairan dan mempersoalkan tindakan mangsa yang membawa kereta di persisiran pantai.
Dalam pada itu, pihak polis menasihatkan kepada orang awam yang datang untuk beriadah secara persendirian, keluarga atau berkumpulan di tepi pantai perlu mengambil langkah-langkah keselamatan.
Baca: Port Dickson Lengang Kerana Pengunjung Tak Selesa Dengan Deretan Khemah Biru?