Walaupun hanya beberapa kawasan dilanda banjir kilat ketika ini, semua agensi dan pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah seluruh negara telah diaktifkan menurut kenyataan terbaharu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Tambahnya lagi, setiap negeri telah diberikan arahan menerusi mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara.
Menurutnya, mesyuarat jawatankuasa pengurusan bencana kebangsaan tersebut telah dipanggil namun ianya tidak diwakili oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri atas faktor pilihan raya.
Jelasnya lagi, jawatankuasa yang diwakili oleh semua agensi, wakil kerajaan dan sebagainya telah menerima arahan yang dikeluarkan untuk bersedia, pihak PDRM, JBPM dan Jawatankuasa Bencana Negeri sudahpun diaktifkan.
Tambah Ismail Sabri lagi, ketika ini gerak kerja di peringkat negeri dan daerah telah bersiap sedia dan fokus utama adalah untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Ketika ini masih banjir kilat, belum disebabkan monsun”
Beliau dalam masa yang sama mengharap dan berdoa agar tidak berlaku banjir besar dan menyifatkan kejadian banjir yang dialami di beberapa kawasan ini sebagai banjir kilat dan bukannya disebabkan monsun walaupun sudah bermula musim Monsun Timur Laut.
Menurut Perdana Menteri lagi, setakat hari ini, belum lagi (banjir besar) yang berlaku walaupun di Rantau Panjang kerana ianya dianggap sebagai banjir kilat.
Pun begitu, beliau mengatakan bahawa pihaknya sudah bersedia bagi menghadapi Monsun Timur Laut yang sebenar.
Mengulas tentang kejadian banjir yang berlaku di beberapa kawasan di Selangor pagi tadi, Perdana Menteri berkata fokus utama ketika ini adalah di kawasan berisiko banjir seperti di Sri Muda dan Klang yang terjejas teruk sebelum ini.
Perkara tersebut diterangkan kepada pihak media oleh Ismail Sabri ketika menghadiri Program Semarak Uniti Keluarga Malaysia di Dataran Kerayong pada Khamis.
Sumber : Awani
Baca : Lagi 2 Hari Nak PRU15, Klang & Shah Alam Kini Ditenggelami Air Setinggi 2 Kaki