Memenangi pingat emas dalam mana-mana acara sukan sekalipun sudah cukup bermakna bagi seseorang individu, lebih-lebih lagi, kalau mereka berjaya merangkul pingat terbabit di Olimpik.
Bercakap mengenai pingat Olimpik, pernah tak korang tertanya-tanya, berapa sebenarnya harga satu pingat emas Olimpik yang dianugerahkan kepada para atlet yang memenangi saingan disertai?
Kalau korang nak tahu harga sebenar bagi pingat emas Olimpik dianggarkan bernilai sekitar USD$810 (RM3,418.20) dan USD$820 (RM3,460).
So, atlet Olimpik cuma dapat bawah RM3,500 je kalau menang pingat emas?
Sebaik sahaja anggaran harga pingat emas Olimpik didedahkan kepada umum, ramai yang merungut kerana beranggapan nilai itu tidak setimpal dengan pengorbanan yang perlu dilalui atlet-atlet demi memenanginya.
Tapi, menurut U.S. Olympic Committee, atlet-atlet yang memenangi pingat di sukan Olimpik akan dibayar dengan jumlah yang lumayan bergantung pada pingat yang dimenangi mereka.
Digelar Operation Gold, mana-mana atlet yang memenangi tempat pertama akan diberikan wang bernilai USD$37,500 bagi setiap pingat emas yang diperoleh. Manakala, penerima pingat perak pula akan diberi ganjaran USD$22,500 dan pemenang pingat gangsa pula akan dibayar sebanyak USD$15,000.
Komposisi pingat emas Olimpik
Terang sumber, rupanya satu pingat emas Olimpik hanya mengandungi enam gram lapisan emas dan 550 gram perak.
Untuk pengetahuan korang, satu-satunya masa pingat emas Olimpik yang dianugerahkan kepada atlet yang memang diperbuat 100 peratus daripada emas adalah semasa St. Louis Game pada tahun 1904 dan London Game 1908.
Lebih menarik, kesemua pingat-pingat yang dianugerahkan kepada para atlet dalam temasya Olimpik Tokyo 2020 ini sangat unik kerana ia diperbuat daripada besi yang dikitar semula daripada alat eletronik kecil.
Difahamkan, bermula dari April 2017, alat-alat eletronik kecil seperti telefon bimbit telah dikumpulkan dari serata Jepun untuk menghasilkan kira-kira 5,000 pingat emas, perak dan gangsa yang akan dianugerahkan kepada para atlet semasa temasya Olimpik Tokyo 2020, lapor Inside Waste.
Usaha pengumpulan alat eletronik kecik itu digelar Tokyo 2020 Medal Project dan sudah ditutup pada 31 Mac 2019. Menurut jurucakap program itu, kira-kira enam juta telefon bimbit terpakai telah dikumpulkan dari 1,621 daerah di serata Jepun. Besi-besi yang digunakan untuk menghasilkan pingat-pingat Olimpik pula dilaporkan diambil daripada sekitar 79,000 tan sisa eletronik.
“Kami berterima kasih atas sumbangan orang ramai untuk menjayakan projek ini. Kami berharap usaha ini mampu menyumbang kepada gerakan mesra alam yang merupakan legasi sukan Olimpik Tokyo 2020,” katanya lagi.
Sumber: Tampa Bay, Inside Waste, indy100
Baca: Raih Emas Olimpik, Atlet Taekwando Thailand Melutut & Beri Pingat Kepada Bapa