in

“Tak Perlu Belanja Besar” – 5 Lokasi Mesra Poket Yang Anak-Anak Pasti Suka

Untitled design 21

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Sedar tak sedar, tak lama lagi cuti sekolah bakal tiba. Bagi anak-anak, inilah masa yang paling ditunggu kerana jarang sekali mereka nak dapat cuti panjang. Bagi mak ayah pula, inilah peluang terbaik untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga, sama ada berjalan-jalan atau berkunjung ke destinasi menarik.

Namun, realitinya tak semua tempat rekreasi, taman tema atau lokasi ‘healing’ mesra pada poket. Lebih-lebih lagi dengan kos sara hidup yang makin meningkat, percutian keluarga besar boleh jadi satu perbelanjaan yang agak berat.


So jangan risau, sebab kali ni min dah senaraikan 5 lokasi mesra bajet yang bukan sahaja seronok untuk anak-anak, tapi korang pun tak perlukan belanja besar. Jom!

Bukit Jelutong Eco Community Park

bukit jelutong

Tak perlu pergi jauh, Bukit Jelutong Eco Community Park di Shah Alam sudah cukup untuk jadi destinasi rekreasi keluarga waktu cuti sekolah. Taman berkonsepkan mesra alam ini menampilkan suasana hijau dengan landskap berbukit, tasik indah dan laluan pejalan kaki yang luas.

Kawasan ini telah dibuka kepada orang ramai sejak beberapa tahun lalu, dan ianya bukan sahaja dijadikan sebagai tempat riadah, malah jadi ruang untuk mengeratkan hubungan komuniti setempat juga!

Paling best, tiada bayaran masuk dikenakan, jadi semuanya percuma untuk pengunjung. Taman ini dibuka setiap hari dari 6.45 pagi hingga 7 malam, jadi korang bolehlah rancang aktiviti keluarga sebelum datang.

Korang pun cuba laluan mendaki yang ditawarkan iaitu hanya sepanjang 1.6km sahaja. Jadi, ianya sangat sesuai untuk keluarga dan semua peringkat umur. Selain itu, kawasannya sangat luas jadi korang boleh jogging, bermain frisbee atau berbasikal, berkelah dengan keluarga atau sekadar menikmati pemandangan tasik pun boleh.

Bukan itu saja tau! Tarikan utama lokasi ini sebenarnya adalah petting zoo. Anak-anak boleh berinteraksi dengan haiwan jinak seperti arnab, kambing, angsa, burung merak dan burung unta. Makanan haiwan turut dijual bagi semua pengunjung merasai pengalaman memberi makanan kepada haiwan-haiwan tersebut.

Lokasi ini juga terdapat kafe kecil serta lokasi bergambar yang menarik, menjadikan lokasi ini menarik untuk keluarga yang suka lepak santai sambil mencipta memori indah bersama.

Artikel Berkaitan: ‘Healing’ Hujung Minggu: 5 Port Best Korang Kena Pergi Di Hulu Rening! – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: 11 Destinasi Percutian Trending Pada Tahun 2025 – Lobak Merah

Taman Tugu

taman tugu

Taman Tugu antara taman hijau terbesar di Kuala Lumpur yang sesuai untuk cuti sekolah seisi keluarga. Terletak berdekatan Tugu Negara dan hanya kira-kira 10 minit pemanduan dari KLCC, taman hutan ini seluas 66 ekar menawarkan suasana sejuk, tenang dan penuh dengan kehijauan, seolah-olah korang jauh dari bandar yang sedang sibuk.

Kemasukan ke Taman Tugu ini adalah percuma, dan ianya dibuka setiap hari dari jam 7 pagi hingga 6.30 petang. Taman ini ada lebih 5km laluan denai hutan dengan beberapa pilihan trail pendek (1-1.5km) yang sesuai untuk kanak-kanak.

Jadi korang boleh pilih trek Green Trail kalau nak mendaki secara santai bersama anak-anak, sebab laluannya lebih jelas, mudah untuk diikuti, dan ada pit stop serta beberapa tempat disediakan buaian yang pasti buat anak-anak suka.

Selain berjalan atau mendaki, anak-anak juga berpeluang untuk melihat pelbagai jenis flora dan fauna. Suasananya cukup selamat untuk keluarga, namun laluannya tidak sesuai untuk bawa stroller. Jadi, bagi yang ada anak kecil, lebih sesuai untuk menggunakan baby carrier.

Paling penting, korang digalakkan untuk membawa air, snek, memakai pakaian yang ringan dan semburan penghalau nyamuk supaya lebih selesa sepanjang jelajah.

Secara keseluruhan, Taman Tugu memang lokasi yang mesra keluarga untuk habiskan waktu cuti sekolah tanpa mengeluarkan bajet yang besar. Di samping itu, anak-anak pun akan teruja menikmati keindahan alam setelah sibuk dengan jadual persekolahan mereka.

Kembara Buku Pelangi 

pelangiiii

Kembara Buku Pelangi yang dianjurkan oleh Pelangi Books menawarkan pengalaman yang unik untuk anak-anak sempena cuti sekolah, kerana ia merupakan gabungan bengkel kreatif dan lawatan kilang penerbitan buku.

Lokasi ini terletak di Wisma Pelangi, Bangi dan sesinya adalah selama dua jam, di mana ia membolehkan kanak-kanak berusia 5-8 tahun merasai sendiri tentang proses penghasilan buku, daripada reka bentuk muka surat hingga ke barisan percetakan.

Meskipun lokasi ini ada bayaran masuk sebanyak RM5 bagi seorang anak, namun ianya masih berbaloi kerana setiap peserta akan mendapat bahan bengkel, lawatan kilang, serta peluang melihat gudang buku dan kedai buku Pelangi. Dua penjaga turut boleh menemani anak secara percuma, menjadikannya pilihan keluarga yang sangat mesra bajet!

Aktiviti yang ditawarkan bukan sahaja menyeronokkan, malah boleh merangsang kreativiti anak-anak korang juga tau. Mereka boleh mereka sendiri kulit buku, di samping terlibat dalam sesi cerita interaktif dan melihat secara dekat macam mana percetakan buku boleh dihasilkan. Ini merupakan peluang untuk memperkenalkan kepada mereka tentang dunia literasi melalui cara hands-on yang menarik.

Sesi lawatan dijalankan setiap Khamis, dengan slot pagi pada 9 pagi dan slot petang pada 2 petang. Tempat agak terhad dan biasanya cepat habis ditempah, jadi perancangan awal amat digalakkan. Korang boleh ikuti @pelangibooks di Instagram untuk kemaskini lawatan tambahan atau pengumuman khas, jadi tak terlepas peluang untuk sertai sesi yang sesuai.

Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah 

gajah

Kalau korang nak pengalaman tengok gajah depan mata, Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah di Lanchang, Pahang adalah lokasi paling sesuai.

Lokasinya terletak kira-kira 1-2 jam pemanduan sahaja dari Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Karak. Pusat ini bukan sahaja menjadi tempat pemindahan gajah liar yang kehilangan habitat, malah ia menjadi pusat pendidikan dan kesedaran awam tentang pemuliharaan haiwan.

Kemasukan ke Pusat Konservasi Gajah ini adalah percuma, termasuklah parkir, menjadikan sesuai untuk seisi keluarga tanpa perlu risaukan kos. Waktu operasinya pula adalah Isnin-Ahad dari jam 8 pagi hingga 1 petang & 2.30 petang hingga 4.30 petang. Manakala Jumaat adalah sedikit berbeza iaitu dari jam 8 pagi hingga 12.30 tengahari & 2.30 petang hingga 4.30 petang.

Aktiviti yang paling menyeronokkan untuk anak-anak adalah seperti memberi makan gajah dengan tebu atau pisang, menonton persembahan gajah dewasa, serta melihat gajah mandi di sungai.

Jika bernasib baik, korang juga boleh berinteraksi dengan anak-anak gajah yang comel, sambil belajar tentang kepentingan memelihara haiwan liar dan alam sekitar.

Terdapat juga pameran dan tayangan video menarik mengenai inisiatif Pusat Konservasi Gajah ini untuk pengetahuan umum. Selain itu, lokasi ini lengkap dengan kemudahan asas seperti tandas, surau, gerai makan dan laluanya juga mesra stroller dan kerusi roda.

Secara keseluruhannya, pengalaman ini bukan sahaja menyeronokkan untuk kanak-kanak, malah memberikan keluarga peluang belajar sambil berjalan-jalan bersama keluarga.

KLIA Flight Landing View 

klia landing view

KLIA Flight Landing View atau Anjung Spotter di Sepang pula merupakan lokasi yang unik untuk seisi keluarga bersama anak-anak melihat kapal terbang secara dekat.

Lokasi ini terletak di hujung landasan KLIA, jadi korang boleh berdiri di kawasan tepi jalan atau parkir saja kereta di tepi sambil menyaksikan pesawat berlepas dan mendarat. Suasana outdoor deck ini memberi pengalaman yang cukup menarik, terutama bagi kanak-kanak yang jarang melihat pesawat secara dekat.

Kemasukan ke lokasi ini juga sudah tentunya masuk secara percuma. Jadi korang boleh bawa anak-anak datang tanpa memikirkan kos. Lokasi ini memang sesuai untuk sesi bergambar sambil melihat pesawat lalu atas kepala korang. Ada juga pengunjung yang datang untuk ambil gambar pengantin mereka!

Sekadar tip untuk datang melawat, seeloknya korang untuk datang selepas waktu Asar menjelang Maghrib kerana biasanya orang ramai mula beransur balik. Namun, bunyi enjin pesawat memang akan kedengaran bising di kawasan tersebut. Jadi, korang boleh gunakan peluang ini untuk perkenalkan anak-anak jenis-jenis kapal terbang yang berlainan sebab ada beza juga tau!

KLIA Flight Landing View memang pengalaman yang berbeza dan menarik untuk keluarga, lebih-lebih lagi anak-anak yang minat kapal terbang atau mahu pengalaman melihat pesawat dengan lebih dekat. Anak-anak memang akan cepat teruja kalau jumpa benda yang unik ni.

Kesimpulannya, rancanglah aktiviti percutian korang bersama anak-anak. Bawa mereka keluar berjalan, nikmati pengalaman baru sambil cipta kenangan manis bersama keluarga. Inilah peluang yang patut dimanfaatkan ketika cuti sekolah menjelang. 5 lokasi mesra bajet ini sangat sesuai untuk semua keluarga, macam-macam aktiviti korang boleh merasai.

Sumber: eCentral, Selangor.travel, Mama’sGuideToMalaysia

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.