Gempar penemuan mayat seorang lelaki dipercayai dibunuh ditemukan di dalam but kereta dalam kawasan semak di Kilometer 26, Jalan Jemaluang-Kahang di Mersing, pada Sabtu lalu.
Menurut laporan, mayat lelaki tempatan berusia 28 tahun itu dijumpai dalam keadaan berpakaian lengkap di dalam but kereta miliknya dengan kesan kecederaan di bahagian leher.
Susulan itu, Ketua Polis Daerah Mersing Supt Abdul Razak Abdullah Sani memaklumkan pihaknya telah membuat tangkapan terhadap dua orang suspek dipercayai ada kaitan dengan kematian seorang lelaki, yang difahamkan kejadian itu bermotifkan dendam.
Keluarga tak boleh terima cara pemergian arwah
Dalam pada itu, ahli keluarga mangsa, Norashikin Mohammad, 26, memaklumkan yang keluarga tidak dapat menerima cara kematian mangsa, Shakirin Mohammad.
Menurut Norashikin, kali terakhir abangnya dilihat adalah pada Rabu lalu, sedang mencuci kereta di rumah keluarganya di Felda Pasak, Kota Tinggi.
Katanya, abangnya yang juga pemandu lori Scania, keluar rumah dengan menaiki Proton Waja berkenaan kira-kira 5 petang, tanpa memberitahu pergi ke mana sebelum terus tidak pulang ke rumah.
Mangsa pernah diugut suspek
Menurut Norashikin, abang sulungnya itu pernah berkahwin namun berpisah kira-kira setahun yang lalu tanpa mempunyai anak.
Dia juga mendedahkan arwah tidak mempunyai musuh namun pernah diugut suspek yang juga bekas suami kepada seorang wanita yang sedang berkawan dengan mangsa.
“Kami tahu abang tiada musuh, tetapi kawan abang ada beritahu abang pernah diugut oleh suspek. Difahamkan, suspek adalah bekas suami kepada wanita yang abang sedang kawan.
“Setahu kami, wanita itu janda, sebab itu kami tak kisah kalau mereka nak berkahwin, tetapi polis maklum pada kami, mereka baharu bercerai bulan ini,” katanya.
Difahamkan, jenazah Allahyarham Shakirin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Felda Pasak malam tadi.
Sumber: Harian Metro, mStar