Walaupun perceraian adalah halal di dalam Islam namun ia merupakan perkara yang dibenci oleh Allah seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud:
أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى الطَّلَاقُ
Maksud: Halal yang paling dibenci Allah adalah Talaq.
Sejak beberapa tahun lalu kes perceraian di antara suami dan isteri di Malaysia semakin meningkat sehingga ia dilihat sebagai satu trend. Malah, statistik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah merekodkan sebanyak 45,420 kes perceraian dalam kalangan umat Islam yang telah didaftarkan di seluruh negara pada tahun 2021.
Kalau korang nak tahu, jumlah perceraian tertinggi ini berlaku pada golongan yang berusia 30 hingga 34 tahun dan kebanyakan dari mereka telah menganggap perceraian merupakan jalan keluar yang mudah.
Menurut Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali, hampir 90 peratus kes masalah rumah tangga adalah disebabkan oleh kesempitan kewangan namun ia bukan punca utama berlakunya perceraian.
Berdasarkan kes-kes yang saya kendalikan, begitu ramai suami lepas tangan tentang bil semasa dan belanja makan pakai keluarga hanya kerana isteri bergaji malah ada yang jadi ‘biawak hidup’, semuanya ditanggung pasangan.”
Suzana turut menyenaraikan antara punca-punca utama berlakunya perceraian di Malaysia termasuklah:
1. Orang ketiga
Perceraian yang berlaku biasanya berkait dengan isu orang ketiga. Malah menurut Suzana, terdapat banyak kes di mana isteri sanggup bertahan berbelas atau berpuluh tahun menanggung suami yang tidak bekerja selagi dorang tak kantoi curang.
Bukan itu sahaja, ramai isteri juga tidak sanggup untuk berpoligami dan lebih rela memilih untuk berpisah daripada dimadukan.
2. Tiada persefahaman
Islam menggalakkan supaya seseorang itu mencari pasangan yang sekufu. Bila bercakap tentang sekufu, ramai yang hanya memikirkan perkara ini melalui aspek pendidikan atau pekerjaan.
Tapi sebenarnya, sekufu dari segi pemikiran adalah lebih penting kerana jika suami dan isteri mempunyai fikiran yang sama, mereka akan lebih memahami tugas masing-masing berbanding bermasam muka atau bergaduh bila salah seorang pasangan lepas tangan sehingga menyebabkan perceraian.
3. Berkahwin terlalu awal
Zaman sekarang juga seperti satu trend untuk orang-orang muda berkahwin atas alasan untuk menghalalkan hubungan tanpa memikirkan kematangan pemikiran mahu pun kewangan.
Namun bila dah lalui perkahwinan bersama, tanggungjawab terhadap pasangan akan mula dirasai dan ia akan menyebabkan tekanan dan memberi kesan kepada perkahwinan.
Disebabkan pemikiran yang tidak matang, kebanyakan pasangan muda ini mula mengambil jalan mudah untuk berpisah.
4. Campur tangan mertua atau ipar duai
Jika kita lihat di media sosial, banyak juga masalah perkahwinan yang dihadapi oleh pasangan disebabkan oleh campur tangan mertua atau ipar duai.
Bermula daripada hubungan yang tidak baik dengan mertua sehinggalah penglibatan mertua ketika suami isteri mengalami masalah.
Biasanya bila ada orang luar yang cuba untuk masuk campur masalah di antara suami isteri, ia akan memburukkan lagi keadaan sekaligus menggugat hubungan perkahwinan seseorang.
Tak cukup dengan itu, ramai juga individu yang terasa bila pasangan terlalu menjaga hati keluarga sehingga mengabaikan perasaan pasangannya, ekoran ini ramai yang lebih memilih untuk bercerai dari terus menderita.
5. Masalah kewangan
Kesempitan kewangan seperti yang disebutkan dekat atas tadi adalah merupakan masalah paling utama dalam kes rumah tangga. Walaupun bukan semua menjadi faktor utama untuk satu pasangan itu untuk bercerai ia tetap menjadi salah satu punca utama pasangan bercerai.
Situasi ekonomi yang tidak stabil boleh mengakibatkan tekanan kepada pasangan suami isteri dan ramai yang memilih jalan keluar mudah untuk bercerai daripada berdepan dengan kesukaran kewangan.
6. Menghina atau merendahkan pasangan
Pergaduhan dalam perkahwinan memang merupakan perkara yang normal untuk suami isteri. Namun, jika pergaduhan dah sampai ke tahap menghina dan merendahkan pasangan, ia boleh menyebabkan seseorang itu tawar hati sehingga membawa kepada perceraian.
Malah, satu kajian oleh Gottman mengatakan, empat sifat ini boleh menyebabkan perceraian di antara suami isteri iaitu:
- Mengkritik pasangan dengan melabel setiap kesalahan yang dilakukan oleh pasangan sebagai sifat sebenar dengan niat untuk menyerang pasangan.
- Memburukkan dan merendahkan pasangan dengan niat untuk menghina.
- Berlakon menjadi mangsa dan bersifat defensif sehingga menyalahkan pasangan atas kesalahan sendiri.
- Tidak mengendahkan pasangan kerana mahu menyakiti mereka.
7. Melacur isteri
Tiga peratus dari punca perceraian adalah kerana suami tergamak melacurkan isteri sebagai cara untuk mendapatkan wang. Menurut Suzana, isteri terpaksa bertahan dalam tempoh tertentu kerana tak mahu dilabelkan sebagai isteri derhaka.
Mereka sanggup dipergunakan suami kerana berfikiran perlu menjadi seorang isteri yang taat. Bagaimanapun, apabila mereka berjumpa saya dan diberi kaunseling, keputusan cerai perlu diambil demi masa depan.”
Kesimpulannya, pasangan yang ingin berkahwin perlu tahu dan faham dengan amanah dan tanggungjawab di dalam perkahwinan kerana perjanjian yang dibuat ketika akad nikah bukan hanya melibatkan janji di antara pasangan tapi juga di antara manusia dengan Allah.
Sumber: Awani, Sinar Harian
Baca: Peguam Syarie Kongsi Punca Ramai Isteri Minta Cerai Bila Dah Berusia