Tular sebuah hantaran seorang pengguna Facebook meluahkan rasa kecewa dengan sikap dan layanan sebahagian kakitangan sebuah syarikat air di Kelantan.
Lelaki itu mendakwa semua panggilan dan mesej yang dibuat ke pejabat dan kakitangan syarikat itu langsung tidak dibalas.
Katanya, ketika dia datang berkunjung ke pejabat syarikat air itu di Pasir Mas pada 9.13 pagi, mendapati tiada seorang kakitangan di kaunter walaupun masa bekerja bermula pukul 8 pagi.
Justeru, ramai pengguna turut berkongsi mengalami situasi sama di beberapa cawangan syarikat itu dan mahu tindakan segera diambil oleh pengurusan syarikat bagi menangani isu berkenaan.
Staf pergi tandas
Susulan hantaran itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengatakan kakitangan pejabat sudah ada dan ketika itu dia pergi ke tandas sebelum datang semula ke kaunter pada 9.30 pagi.
“Saya baca dan terkejut juga, tetapi saya rujuk kepada pihak berkenaan.
“Rupanya kakitangan keluar sekejap untuk ke tandas dan kebetulan pelanggan itu datang, jadi (kaunter) kosong. Silapnya kakitangan tidak letak notis atas kaunter,” katanya menerusi laporan Berita Harian.
Tambahnya, orang ramai pada masa ini cepat buat kesimpulan seperti suka sebar tanpa semak fakta dahulu sama ada betul atau sebaliknya.
Dalam pada itu, pengadu tersebut turut berkongsi beberapa tangkap layar yang menjawab kejadian yang sebenar berlaku ketika itu.
Difahamkan, ada beberapa kakitangan yang mengambil cuti kecemasan pada hari tersebut dan digantikan dengan kakitangan lain.
Baca: “Supply air keruh pun dpt bonus” – Air Kelantan Didakwa Beri Saguhati RM10K Pada BOD Sempena Raya?