Mula diperkenalkan pada 2011, Skim Rumah Pertamaku (SRP) akan dimansuhkan bermula 1 April 2023 dan ini bermakna tiada lagi kaedah untuk memiliki rumah pertama tanpa perlu membayar deposit.
Selepas ini, pembeli rumah pertama harus menyediakan deposit 10 peratus daripada harga hartanah yang ingin dibeli sama seperti pembeli-pembeli lain.
Menurut pengumuman pihak bertanggungjawab menguruskan skim berkenaan, Cagamas Bhd, mereka yang berminat mendapatkan permohonan pinjaman melalui skim berkenaan atau pembiayaan perumahan di bawah SRP selewat-lewatnya 31 Mac ini.
Menerusi notis ringkas di laman web perbadanan tersebut, mereka yang masih berminat perlu mengunjungi mana-mana cawangan bank yang mengambil bahagian atau menghubungi mereka untuk maklumat lanjut.
Sementara itu, maklumat yang dipaparkan di laman web perbadanan tersebut menunjukkan lebih 90,000 pemohon berjaya mendapatkan pembiayaan menerusi skim berkenaan dengan lebih 90 peratus adalah golongan B40 dan belia berusia 25 hingga 40 tahun.
Untuk rekod, skim berkenaan diperkenalkan dengan matlamat membantu pembeli yang berpendapatan kasar bulanan serta isi rumah yang di bawah RM10,000 untuk memiliki rumah pertama.
Menerusi SRP, pembeli rumah pertama boleh menerima pembiayaan sehingga 110 peratus daripada bank-bank yang terbabit serta membolehkan pemilikan rumah tanpa perlu meletakkan wang deposit.
Pada tahun lalu, kerajaan melancarkan Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) di mana SRP disenaraikan sebagai salah satu daripada skim pembiayaan yang ditawarkan bagi membantu keluarga berpendapatan rendah memiliki rumah.
Selain SRP, dua lagi komponen di bawah i-Biaya adalah Skim Jaminan Kredit Perumahan oleh Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dan Sewa untuk Beli (RTO) bagi Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA).
Baca : “Jangan lupa asal usul” – Alif Satar Imbau Memori Zaman Kanak-Kanak Jadi ‘Budak Flat’