Seorang tukang jahit berusia 51 tahun kerugian RM103,000 selepas menjadi mangsa penipuan seorang lelaki yang menyamar sebagai bomoh di media sosial.
Mangsa, seorang ibu tunggal dari Terengganu, tampil membuat laporan polis selepas menyedari dirinya diperdaya.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi, berkata suspek memperdayakan wanita itu dengan menawarkan rawatan mistik sehingga mangsa menyerahkan wang tunai, barang kemas serta rakaman gambar bogel.

Artikel berkaitan: Bomoh Kemboja Buat Ritual Sihir, Nak Santau Komander Tentera Thailand
Artikel berkaitan: “Rasa macam benda tu kat belakang” – Lelaki Kongsi Kena Gangguan Gara-gara Terlalu Memuja Idola Yang Dah Meninggal Dunia
Menurut laporan Astro Awani, pada 3 September lalu, mangsa menjual empat utas gelang emas bernilai RM71,350 sebelum menyerahkan wang tunai RM71,000 bersama seutas rantai emas seberat 80 gram di sebuah lokasi berhampiran longkang di Kota Bahagia, Rompin.
Suspek mendakwa wang itu akan dipulangkan selepas dua minggu sebagai sebahagian daripada rawatan.
Selain itu, mangsa turut diarahkan merakam video dan gambar tidak senonoh sebelum menyerahkannya kepada suspek, kononnya sebagai syarat untuk meneruskan rawatan.
Wanita tersebut akur kerana percaya dengan pujukan suspek.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, manakala polis menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran rawatan mistik atau individu tidak dikenali di media sosial.
