Sebuah sekolah yang terletak di sebuah pulau terpencil yang hanya didiami 28 orang menawarkan gaji hampir RM400,000 untuk jawatan cikgu sekolah rendah.
Lebih mengejutkan, tawaran itu hanya memerlukan guru terbabit mengajar empat orang murid sahaja.
Foula Primary School terletak di sebuah kepulauan terpencil dikenali sebagai Foula yang terletak kira-kira 16 batu barat dari Shetland, Scotland. Untuk sampai ke pulau yang hanya berkeluasan 15 kilometer persegi itu, individu boleh menaiki feri selama dua jam dari Walls atau menaiki kapal terbang dari Tingwall yang akan memakan masa hanya 15 minit.
Memetik laporan Mirror, pulau terbabit hanya mempunyai populasi seramai 28 orang sahaja manakala di Foula Primary School pula, hanya ada empat orang murid yang sedang mencari guru baru bagi menggantikan guru besar sekolah yang akan bersara tidak lama lagi.
Selain ditawarkan gaji tahunan sebanyak RM337,566 bagi memenuhi jawatan guru di sekolah rendah ini, mana-mana individu yang diterima bekerja juga akan ditawarkan rumah sewa tiga bilik.
Pulau Foula terkenal dengan kecantikannya dan habitat burung yang tinggal di situ. Turut mempunyai tebing laut kedua paling tinggi di United Kingdom, pulau kecil ini bagaimanapun, tidak mempunyai kedai.
Jelas seorang penduduk Foula, dia berkata, walaupun hanya mempunyai empat orang murid, sekolah rendah terbabit merupakan institut pendidikan penting di kepulauan tersebut.
“Sebelum ini, pada usia 12 tahun, kami sudah tinggalkan pulau untuk belajar di sekolah asrama dan hanya boleh balik ke rumah dua hari dalam masa sebulan. Kami tak sanggup nak lihat budak sekolah rendah terpaksa lalui perkara sama,” jelasnya.
Untuk pengetahuan, mana-mana individu yang terpilih akan mengajar di sekolah ini disamping beberapa penduduk yang bekerja secara sambilan.
Sumber: Mirror
Baca: “Jimat cost” – Sekolah Dipuji Sediakan Bekas Letak Buku Untuk Ringankan Beg Pelajar