Seorang lelaki dari Florida ditahan selepas dia didakwa meletakkan bahan kimia berbahaya di bawah pintu rumah jirannya dan aksinya itu dirakam menerusi satu rakaman kamera litar tertutup yang dipasang oleh tuan rumah.
Suspek Xuming Li, 36, menghadapi pelbagai pertuduhan termasuk memiliki bahan terkawal dan menyebarkan agen kimia, menurut sumber.
Keluarga yang tinggal di atas rumah Li memberitahu sumber bahawa kejadian ini berlaku selepas mereka mempunyai bayi perempuan yang baru lahir, Li mula menghantar mesej teks dari apartmennya dan mengadu bunyi bising dari tingkat atas.
Difahamkan Li mengatakan dia tidak boleh tidur dan boleh mendengar bunyi bising tersebut. Tuan rumah, Umar Abdullah, memberitahu bahawa selepas mereka bertelagah dan menjadi dingin antara satu sama lain, seluruh keluarganya mula berasa sakit.
Abdullah dan keluarganya mengakui sering alami muntah-muntah dan cepat jatuh sakit. Kemudian, salah seorang rakannya terhidu bau bahan kimia itu apabila pergi ke rumah itu membawa bungkusan untuk keluarga tersebut semasa mereka pergi bercuti.
Apabila keluarga itu pulang, mereka pun mengakui boleh menghidu bau misteri itu juga.
Selepas meminta pihak profesional memeriksa unit penghawa dingin, pemanas air, saluran udara dan bolong rumah, Abdullah berkata beliau meminta pihak bomba datang memeriksa, tetapi mereka tidak menemui apa-apa.
“Kemudian, saya menyemak semula. Saya mula menghidu tempat itu seperti anjing,” jelas Abdullah.
Dia memberitahu WFLA bahawa hanya selepas menyiasat perkara lain, dia mula memikirkan jirannya dari tingkat bawah.
Dia kemudian memasang kamera tersembunyi di luar rumah dan ramalannya terbukti benar apabila video tersebut memperlihatkan jirannya ‘pedajal’ mereka sekeluarga di mana dia meletakkan sesuatu cecair menggunakan picagari ke bahagian celah pintu rumahnya.
Abdullah kemudian membuat laporan polis dan menunjukkan video rakaman tersebut kepada mereka.
“Perkara pertama yang terlintas di fikiran saya – anak perempuan saya dan isteri saya, mereka perlu selamat.”
Susulan pembongkaran itu, Li telah ditangkap dan didakwa pada 27 Jun lalu. Menurut afidavit Jabatan Polis Tampa, ujian menemui “ejen kimia” cecair mengandungi bahan methodone hidrokodon.
Li didakwa dengan satu pertuduhan jenayah mengintip, tiga pertuduhan menyebarkan agen kimia dan satu pertuduhan memiliki bahan terkawal. Li juga menghadapi saman daripada Abdullah kerana keganasan dan melanggar kontrak.
Abdullah memberitahu sumber bahawa anak perempuannya berusia setahun beberapa minggu lalu dan mereka masih tinggal di rumah itu. Walau bagaimanapun kini mereka sedang dalam proses mencari rumah baharu.