in

Sebar Berita Palsu Ahli Keluarga Mati Kerana Covid-19, Lelaki Ini Dijatuhkan Hukuman Penjara & Sebat

Collage 16 E1657945401176

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Baru-baru ini, tular tentang kisah seorang lelaki yang mendakwa seramai 14 ahli keluarganya telah maut akibat wabak Covid-19.


Pekerja kontraktor di Kompleks Bersepadu Pengerang ini telah meraih simpati rakan sekerjanya dengan mengatakan yang isteri dan lapan orang anaknya telah meninggal dunia disusuli permintaan bagi menyalurkan bantuan ikhlas untuk meringankan bebannya.

Bukan itu sahaja, majlis tahlil secara maya turut dibuat dan disertai ratusan individu yang simpati dengan keadaannya dan lelaki ini juga sempat memberikan ucapan terima kasih atas keprihatinan orang ramai.

Penipuan lelaki ini akhirnya terbongkar sehingga pihak Petronas turut mengesahkan yang lelaki ini telah pun ditahan oleh pihak berkuasa kerana membuat dakwaan palsu.

Padah Reka Cerita 14 Ahli Keluarga Jadi Korban Covid 19 Pekerja Kontraktor Petronas Ditahan Polis 1.Jpg 1

Ekoran ini, Harian Metro melaporkan mahkamah majistret telah pun menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun, denda RM16,000 dan dua sebatan ke atas lelaki ini selepas dia mengaku bersalah menperdayakan rakan sekerjanya 3 September lalu.

Mohd Zahazan Zainon telah mengaku bersalah atas tuduhan pertama kerana menipu rakan sekerja dengan cara memperdaya mengatakan bahawa ahli keluarganya meninggal dunia akibat Covid-19 sedangkan ia tidak benar dan mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM7,857 ke akaun bank tertuduh sebagai sumbangan derma.

Serta tuduhan kedua, memperdaya seorang lagi rakan sekerja dengan mengatakan hal sama sehingga mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM500 ke akaun bank tertuduh sebagai sumbangan derma.

Kedua-dua kesalahan ini dilakukan pada 3 September lalu di antara jam 5.20 petang hingga 9.25 malam di Pejabat Bahagian Keselamatan Kompleks Bersepadu Pengerang.

Jajaj 1631078947

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama tempoh tidak kurang dari setahun dan tidak lebih sepuluh tahun dan boleh dikenakan denda.

Sebelum ini, peguam bela meminta agar hukuman tertuduh diringankan kerana ia merupakan kesalahan pertamanya dan tertuduh menganggung empat anak hasil perkahwinannya.

Pun begitu, Timbalan Pendakwa Raya meminta hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam berbanding kepentingan peribadi.

Hakim, Nurmadiana kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dari tarikh tangkapan, denda RM15,000 dan satu sebatan terhadap kesalahan pertuduhan pertama. Jika gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara lima bulan.

Bagi pertuduhan kedua, mahkamah menjatuhkan hukuman setahun penjara dari tarikh tangkapan, denda RM1,000 dan satu sebatan. Jika gagal bayar denda tertuduh boleh dipenjara sebulan.

Kedua-dua hukuman penjara ini akan dijalankan secara serentak.

Hm, tak pasal-pasal je masuk penjara…

 

Baca: Lelaki ‘Gebang’ Kehilangan 14 Ahli Keluarga Kerana Covid-19, Berjaya Dapat Sumbangan RM91,000

Screenshot 2021 09 08 At 1.54.53 Pm

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.