Mungkin sesetengah daripada kita bertuah kerana mempunyai jiran yang prihatin dan bertimbang rasa antara satu sama lain.
Namun ada juga di antara kita yang terseksa jika memiliki jiran seperti video yang dikongsikan di bawah ini.
“Sebab tu la aku tak boleh duduk dengan bifoti”
Dia boleh bagi makan burung atas rumah orang 🫠 pic.twitter.com/MptYTQEsX4
— Naz KL Property Consultant (@nazirullahjufri) January 28, 2026
Dalam video yang tular di X, dapat dilihat seorang individu memberi makan kepada sekawan burung merpati yang dilihat bertenggek di atas bumbung zink sebuah rumah pangsapuri di tingkat bawah.
Rata-rata netizen berpendapat tindakan jiran di tingkat atas itu sebagai tidak wajar kerana ia bakal mengundang pelbagai masalah kepada penduduk di tingkat bawah seperti masalah tahi burung, penyakit bawaan daripada burung merpati dan gangguan bunyi daripada burung-burung berkenaan.

Ada juga yang mengatakan najis burung tersebut boleh memberi bau yang tidak menyenangkan dan sebaiknya individu di tingkat bawah tersebut membuat teguran kepada penghuni di tingkat atas untuk menghentikan tindakannya memberi burung makan.
Artikel berkaitan: Gara-gara Bau Masak Kuat, Tuan Rumah Diserbu Pihak Berkuasa Lepas Jiran ‘Complain’
Artikel berkaitan: “Relevan lagi ke?” – Kenali Kawasan Rukun Tetangga, Rupanya Sudah 50 Tahun Jaga Kejiranan Kita
Difahamkan tindakan memberi burung merpati makan ini juga boleh menyebabkan anda disaman pihak majlis perbandaran seperti apa yang berlaku di Pulau Pinang.
Dalam satu laporan New Straits Times bertarikh 1 Oktober 2025, pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang telah menyaman sembilan orang penduduk yang dengan sengaja memberi burung merpati makan, meskipun sudah diberi amaran dan kempen kesedaran berulang kali.
Difahamkan, tindakan memberi makanan kepada merpati boleh menyumbang kepada peningkatan populasi burung liar itu, yang seterusnya menimbulkan masalah kebersihan di kawasan bandar.
