Pengacara sensasi Azwan Ali atau lebih dikenali dengan nama Diva AA baru-baru ini mendedahkan bahawa beliau telah disihir sehingga menjejaskan kesihatannya.
Memetik laporan Harian Metro, pengacara berusia 57 tahun itu menceritakan kali terakhir ia menyerang dirinya adalah pada awal pagi Rabu sehingga tidak dapat berjalan dan badan pula rasa seperti dibakar. Katanya, ‘serangan’ sihir itu bermula semula sejak minggu lalu dan mengganggu aktiviti hariannya.
Akui mulut jahat tapi tak perlu sampai disihir
Ujarnya, dia juga berikhtiar dan berubat dengan seorang ustaz serta meluahkan rasa syukur kerana doa pengikut-pengikut yang sentiasa menguatkannya.
Dia turut mengakui sering mengeluarkan kata-kata yang menggores hati namun ia tidak bermaksud pihak berkenaan menggunakan ilmu hitam sehingga membuatkan dirinya menderita.
“Sebenarnya, saya sakit. Sakit, kalau ditanya memang sakitlah. Tergamaklah. Kenapa mesti marah sangat dengan saya? Memang saya mulut jahat. Saya akui. Tapi, tak payah sihir kot sebab terlalu sakit.
“Ia bukanlah sisa-sisa rasa sakit atau apa, tetapi ‘serangan’ yang berulang. Dah setahun saya berubat dan saya okay sahaja. Tapi, sejak minggu lalu, saya ‘diserang’ semula.
“Saya rasa pelik sangat sebab saya tak dapat berjalan dan rasa badan saya seperti dibakar. Orang akan cakap, sikit-sikit, nak kaitkan dengan sihir. Orang bercakap begitu kerana mereka tak kena sendiri,” katanya.
Tahun lalu, pengacara terbabit sebelum ini ada membuat pengakuan pernah terkena sihir yang didakwanya dilakukan oleh individu dikenali dalam industri. Namun, tidak menyatakan nama artis berkenaan lantaran enggan menimbulkan kenyataan berbaur fitnah.