Suasana hiba menyelubungi Mahkamah Tinggi semalam sewaktu perbicaraan kes bunuh Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain semasa tertuduh kedua membuat permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga mangsa.
Lapor Bernama, turut mengundang kesedihan apabila Muhammad Azamuddin Mad Sofi, 23, mendedahkan bahawa Zulfarhan, yang membahasakan dirinya sebagai Along, memberitahu yang dia merindui kedua-dua ibu bapanya dan mahu memohon maaf.
Dia cakap Along rindu mak dan ayah, saya cakap kalau rindu call lah, tapi dia cakap tak apa aku tak nak menyusahkan mak ayah aku, mak aku sakit”
Ibu mangsa yang berada di galeri awam kelihatan menitiskan air mata selepas tertuduh kedua itu memberitahu kejadian tersebut.
Menceritakan detik berkenaan, Muhammad Azamuddin berkata sebelum Zulfarhan meninggal dunia pada 1 Jun 2017, dia dan mangsa berada di bilik rakan tertuduh pertama Muhammad Akmal Zuhairi, pelajar Universiti Tenaga Nasional (Uniten).
Ketika itu Muhammad Akmal keluar membeli ‘Oral Rehydration Salt’ (ORS).
“Pada waktu itu Zulfarhan ada muntah sekali. Bila saya membersihkan muntahnya, Zulfarhan memberitahu saya dia minta maaf dekat saya sebab dia menyusahkan saya. Saya bagi tahu dia tak ada masalah kita kawan dan Zulfarhan bagi tahu dia rindu mak dan ayahnya dan mahu minta maaf.”
“Dia cakap Along rindu mak dan ayah, saya cakap kalau rindu call lah, tapi dia cakap tak apa aku tak nak menyusahkan mak ayah aku, mak aku sakit. Saya rasa pelik kenapa tiba-tiba dia cakap macam itu.”
Detik itu, Zulfarhan dalam keadaan lemah ada mengimbau kenangan persahabatan mereka, tertuduh pernah bermalam dirumahnya di Johor Bahru.
Pada waktu itu juga Zulfarhan minta dia mahu baring atas selimut secara meniarap, Selang beberapa minit Muhammad Akmal lihat Zulfarhan tidak bergerak dan memanggil nama Zulfarhan, namun tiada tindak balas daripada Zulfarhan dan bila pengang tangan rasa sejuk.
Saya mewakili sahabat-sahabat saya memohon maaf atas apa yang berlaku”
Muhammad Azamuddin membuat permohonan maaf itu selepas peguamnya, Amer Hamzah Arshad menyoalnya sama ada mahu bercakap sesuatu kepada keluarga Zulfarhan.
Dalam keadaan sebak, dia selaku tertuduh memohon maaf diatas apa yang terjadi, ketika pemeriksaan utama oleh Amer Hamzah semasa membela diri di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.
Dia berkata hubungannya dengan Zulfarhan diibaratkan seperti ‘seutas tasbih yang mana ada awalnya dan tiada berpenghujung’.
“Walapun Zulfarhan sudah pergi bertemu pencipta, saya dan rakan-rakan sentiasa mendoakan kesejahteraannya. Pengenalan kami (tertuduh dan Zulfarhan) bermula 2014, walaupun saya dan Zulfarhan berbeza dalam jurusan tetapi UPNM yang menanamkan erti persahabatan dan prinsip ‘no man left behind’ menyebabkan saya dan dia berkawan baik,”
Hanya melalukan seterika wap, tak sentuh
Dalam keterangannya, Muhammad Azamuddin berkata pada 22 Jun 2017, dia hanya melalukan seterika wap itu di bahu dan peha Zulfarhan selama satu saat.
“Saya guna seterika itu pada bahu dan peha Farhan tetapi masa buat seterika dan Farhan tidak bersentuhan. Saya ambil seterika wap itu apabila Mubin (rakan tertuduh) cakap Zulfarhan kena ajar sikit, selepas itu saya gunakan”
Semasa ditanya mengapa menggunakan seterika wap itu, tertuduh menjawab:
“Saya hanya menggertak atau menakutkan Zulfarhan”.
Tiada niat nak cederakan arwah
Ditanya lagi mengapa melakukan perbuatan tersebut yang boleh menyebabkan kematian sedangkan dia dan Zulfarhan bersahabat baik, Muhammad Azamuddin menjawab:
“Pada saya, tindakan saya hanya untuk menasihati Zulfarhan sebab saya tahu bagaimana perangai Zulfarhan”.
Katanya ketika melakukan perbuatan itu dia langsung tidak tahu ia mampu mendatangkan kecederaan kepada Zulfarhan kerana pada ketika itu jelas tiada kesan pada Zulfarhan dantiada niat untuk mencederakan (Zulfarhan), jauh sekali untuk saya melakukan pembunuhan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azman bersambung esok.