Nahas pesawat Lion Air JT610 pada Isnin (29 Oktober) yang membawa 189 penumpang dan anak kapal menggemparkan ramai orang di seluruh dunia.
Usaha mencari mangsa dan bangkai pesawat hingga kini masih diteruskan. Beberapa cebisan mayat telah dijumpai dan kini dalam proses kenal pasti identiti.
Ahli keluarga kesemua mangsa nahas masih menanti perkembangan terkini di lapangan terbang Jakarta namun bagi Gerian Sanusi, hidupnya bagaikan sudah gelap dan sugul.
Menurut Harian Metro, Gerian bukan sahaja hilang seorang abang tetapi juga kakak ipar dan anak saudara sekaligus. Abangnya, Rizal Gilang Sanusi Putra merupakan penumpang pesawat itu bersama isteri, Wita Seriani dan anak mereka, Kyara Aurine Daniendra Giwitri Putra.
Kyara, bayi perempuan berusia 15 bulan merupakan mangsa paling muda terkorban dalam tragedi tersebut. Keluarga kecil itu dikatakan melawat saudara mereka dekat Jakarta sebelum menaiki pesawat berkenaan untuk pulang.
Namun, kepulangan mereka yang dinantikan ahli keluarga bertukar menjadi insiden menyayat hati selepas pesawat tu terhempas di Laut Jawa. Ketika kejadian, Gerian, 24, berada di rumahnya berhampiran Pangkal Pinang sebelum dengar tentang berita nahas pesawat tersebut.
Sebaik mendapat tahu, dia akui cuba menenangkan diri dengan menyangka yang keluarga kecil tu menaiki penerbangan tengah hari. Katanya, Wita ada memberitahu yang mereka mahu beli belah di Jakarta.
Namun, semuanya sudah ditakdirkan dan Gerian redha selepas membaca senarai nama penumpang pesawat tu melalui Whatsapp. Dia kemudian terus ke lapangan terbang dan menaiki penerbangan pertama ke Jakarta.
Sehingga kini, Gerian masih keliru dan tidak berapa mengerti dengan apa yang berlaku selain turut meratapi insiden malang ni. Lebih sedih, dia baru saja kehilangan ibunya.
“Ibu saya meninggal dunia dua bulan lalu dan kini abang saya yang menjadi tulang belakang keluarga pula hilang.”
Sepupu Wita yang tinggal di Jakarta juga turut berkongsi perbualan terakhir mereka di Instagram. Menurut Rara, dia baru saja bertemu keluarga kecil tu ketika mereka berada di Jakarta.
“Baru semalam kita berjalan bersama ye mama, papa dan Kyara. Kita makan sushi, lepas kenyang kita sambung jalan-jalan dan belikan barang yang banyak untuk Kyara. Lepas tu lapar semula dan kita makan lagi, Kyara makan banyak sangat kentang goreng….”
Lebih memilukan, Rara dan keluarga tu dan merancang untuk berjalan ke Singapura pada bulan Disember akan datang.
Mengikut laporan terkini, pihak berkuasa Indonesia masih dalam usaha mencari bangkai pesawat yang diyakini telah berjaya dikesan.
Sama-sama kita doakan untuk kesemua mangsa tragedi nahas pesawat ni…