Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi di laman Facebook bagi memohon maaf atas kesilapan yang berlaku ketika siaran langsung Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Dalam kejadian itu, pengulas RTM tersilap menyebut nama Presiden Republik Indonesia sebagai Joko Widodo, sedangkan Presiden Indonesia yang terkini ialah Prabowo Subianto.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan RTM, pihaknya memandang serius kesilapan tersebut dan tindakan sewajarnya telah diambil selepas siasatan dalaman dijalankan.
“RTM dengan ini memohon maaf kepada Presiden dan Kerajaan Republik Indonesia, serta semua pihak yang terkesan akibat kesilapan ini,” menurut kenyataan itu.

Artikel berkaitan: 14 Tahun Menanti, Akhirnya Timor-Leste Sah Jadi Ahli Ke-11 ASEAN!
Artikel berkaitan: Perdana Menteri Thailand Batal Lawatan ke Sidang Kemuncak ASEAN Selepas Pemergian Permaisuri Sirikit
RTM turut menegaskan bahawa pihaknya akan memperketat kawalan editorial dan semakan fakta bagi memastikan setiap maklumat yang disiarkan selepas ini adalah tepat dan berintegriti.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Bahagian Perhubungan Awam, Jabatan Penyiaran Malaysia dan disahkan oleh Ketua Pengarah Penyiaran hari ini.
Kredit: FB RTM
