Sebuah perkhidmatan van jenazah di Melaka mengambil keputusan menghentikan operasinya serta-merta selepas mengaku melakukan kesalahan ketika mengendalikan perkhidmatan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem berkata, keputusan itu dicapai susulan semakan yang dibuat selepas tular dakwaan bahawa NGO berkenaan meminta bayaran daripada waris seorang kanak-kanak perempuan walaupun perkhidmatan itu pada awalnya dimaklumkan sebagai percuma.
“Hasil pertemuan tersebut, pihak berkenaan mengakui ada meminta bayaran daripada waris sebagai usaha menampung kos operasi mereka.
“Selepas semakan dibuat, didapati memang terdapat kesalahan dalam cara operasi dijalankan dan mereka sendiri mengakui perkara itu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Susulan pengakuan tersebut, NGO berkenaan bersetuju menghentikan operasi mereka berkuat kuasa serta-merta.
Pada masa sama, Mohd Noor Helmy turut menjelaskan bahawa tiada pegawai forensik mahupun kakitangan rumah mayat di mana-mana hospital terlibat dalam operasi yang dijalankan oleh NGO tersebut.
Artikel berkaitan: “Sebab waris tiada wang” – UKVJ Dedah Ada Jenazah Dibiar 7 Jam Hingga Dihurung Semut
Artikel berkaitan: Bapa Dakwa Proses Bawa Pulang Jasad Anak Disekat Hanya Kerana Tiada Van Jenazah
Terdahulu, heboh mengenai dakwaan sebuah perkhidmatan van jenazah yang mempromosikan khidmat secara percuma kepada waris, namun didakwa menghubungi keluarga selepas pengebumian untuk meminta bayaran yang disifatkan sebagai sumbangan atau infak.
Menerusi hantaran tular itu, keluarga kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun mendakwa dihubungi kira-kira seminggu selepas urusan pengebumian bagi meminta sejumlah wang atas alasan sumbangan.
Difahamkan, ketika urusan pengambilan jenazah dilakukan, waris dimaklumkan bahawa perkhidmatan tersebut disediakan secara percuma tanpa sebarang caj.
Bagaimanapun, keluarga terbabit mendakwa mereka kemudiannya diminta membuat bayaran sekali gus menimbulkan persoalan sama ada perkhidmatan itu benar-benar bersifat sukarela atau sebaliknya.
Sumber: Facebook
