Lagi-lagi kes buli! Belum pun selesai kes 20 pelajar pukul seorang remaja vokasional yang berselubung dengan selimut. Timbul pula kes baru yang melibatkan 20 pelajar lain memukul rakan sekolah dengan batang paip PVC!
Hei apa masalah budak-budak sekarang ni??
Menurut laporan The Star, seorang pelajar berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Kulim, Kedah mendakwa telah dibelasah 20 orang rakan sekolahnya dengan batang paip PVC pada 7 Ogos lepas.
Akibat kecederaan yang teruk, remaja itu kini telah dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Butterworth. Mangsa dilaporkan mengalami lebam pada bahagian muka dan abdomen, patah beberapa batang jari dan juga tulang sarafnya bengkok! Teruknya…
Menurut pelajar tersebut, rakan sekolahnya telah memerangkap mangsa di bilik air dan kawasan kantin, yang mana ia menjadi tempat ‘kebiasaan’ mereka memukulnya.
Dalam pada itu, bapa mangsa memberitahu, dia amat terkejut mengetahui bahawa tiada seorang pun pelajar yang datang membantu anaknya ketika mangsa sedang dibelasah remaja-remaja tersebut.
“Saya bawa dia untuk membuat laporan polis apabila dia pulang ke rumah dengan keadaan wajah dan tubuh yang bengkak. Dia tidak bercakap banyak tentang keadaan dirinya yang dipukul itu. Jadi kami ingat ia tak serius sangat,” kata bapa mangsa lagi. Haish tak boleh ambil ringan ni!
Namun pada 11 Ogos lepas, bapa mangsa mulai sedar akan lebam pada bahagian abdomen dan wajah anaknya yang agak serius lalu bertindak untuk membawanya ke hospital.
Selepas sesi pemeriksaan di hospital, doktor mendapati bahawa dua jari tangan anaknya patah akibat dari dipukul rakan sekolahnya lepas.
“Saraf tunjangnya jadi bengkok selepas dipukul. Sekarang dia payah untuk berjalan atau menjalankan apa-apa aktiviti fizikal. Semenjak dari insiden itu, dia sekarang dalam cuti sakit,” kata bapa mangsa.
Malah lebih menyedihkan, hal ini bukanlah kali pertama berlaku. Bapanya telah memaklumkan kepada pihak sekolah mengenai kes tersebut namun tiada tindakan yang diambil mereka sehingga ke hari ini.
Pun begitu, kes ini masih dalam siasatan dan enam pelajar yang terlibat telah disoal siasat pihak polis. Menurut pihak polis, buat masa sekarang, tiga dari enam pelajar tadi sudah pun dibuang sekolah.
Apa-apapun, diharapkan semoga kes ini diselesaikan dengan segera. Pelajar-pelajar yang terlibat patut diberikan pengajaran supaya mereka tidak mengulangi kesalahan yang sama.
Ibu bapa dan para guru haruslah berganding bahu dalam memikirkan cara untuk menghentikan kes buli dalam kalangan pelajar. Bully is not cool tau!
Baca: Dua Pelajar Kolej Vokasional Cedera Dibelasah 20 Senior Kerana Tidak Mengikut Arahan