Selepas kematian arwah Zulfarhan akibat didera rakan beberapa bulan lepas, ingatkan kes seperti ini sudah reda buat seketika waktu. Namun baru-baru ini timbul lagi satu kes apabila sekumpulan senior bertindak memukul dua junior kononnya kerana tidak mengikut arahan mereka.
Eh tak habis-habis lagi ke dengan isu seniority ni?
Dalam kejadian yang berlaku pada 7 Ogos lepas, dua orang pelajar vokasional di Kuala Nerus telah mendakwa dibelasah kira-kira 20 orang pelajar yang dipercayai senior sekolah tersebut, lapor Harian Metro.
Mangsa, Ahmad Zikrill Azim yang berusia 16 tahun dilaporkan lebam pada badan dan dua kali pengsan. Manakala sahabatnya, Wan Ahmad Faris Zakaria, 16, cedera di kaki dan calar-calar di badan.
Ahmad Zikrill yang juga atlet boling Terengganu didakwa dipukul oleh sekumpulan pelajar tersebut ketika sedang tidur pada kira-kira jam 1.30 pagi. Tubuh mangsa tiba-tiba saja diselubungi dengan selimut oleh pelajar berkenaan yang seterusnya bertindak membelasah mangsa.
Pelajar lain yang melihat kejadian itu diminta untuk mendiamkan diri dan tidak campur tangan ketika mangsa dalam keadaan meraung menahan kesakitan.
Akibat bunyi bising, Wan Ahmad Faris yang berada di asrama berkenaan terjaga dan kumpulan tersebut pula bertindak untuk memukulnya.
Kedua-dua sahabat tersebut mendakwa mereka bukan sahaja ditumbuk dan ditendang beramai-ramai dengan keadaan muka yang ditutup selimut malah mereka juga turut dihempap. Eh melampau betul ni!
Menurut Wan Ahmad Faris, pelajar senior tersebut telah memukul rakan sebiliknya hampir sejam lamanya sebelum mereka memukulnya dan mengugut untuk mencederakan mereka dengan lebih teruk jikalau hal ini diceritakan kepada orang lain.
Kesan dari pukulan itu, Ahmad Zikrill mengadu sakit-sakit di dalam kelas sebelum salah seorang pelajar memaklumkan kejadian tersebut kepada sepupu mangsa yang juga penuntut tingkatan tiga di sekolah berkenaan.
Terkejut dengan kejadian itu, sepupunya melaporkan hal tersebut kepada pihak sekolah yang seterusnya memaklumkan ia kepada ibu mangsa.
Sofia Abd Ghani, 43, berkata, pada awalnya dia menyangka anak keempat dari enam orang adik beradik itu telah melakukan kesalahan besar ketika dihubungi untuk datang ke sekolah segera.
“Namun sangkaan saya meleset selepas penyelia asrama menunjukkan badan anak saya akibat dipukul pelajar lain… saya memang terkejut dengan keadaan anak lemah dan tidak bermaya.”
“Pihak sekolah meminta ibu bapa berbincang namun saya tetap ingin melaporkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.
Susulan itu, keluarga mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada jam 3.30 petang.
Pun begitu, mangsa, Ahmad Zikrill terpaksa dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas pengsan ketika disoal siasat polis berkaitan kes itu.
Wan Ahmad Faris yang ditemui Harian Metro di HSNZ berkata, kejadian tersebut kemungkinan terjadi akibat dari perasaan tidak puas hati pelajar senior berkenaan yang mendakwa mangsa tidak mengikuti arahan mereka.
Dalam pada itu, seramai 15 orang pelajar telah dibawa ke Mahkamah Majistret Terengganu untuk direman empat hari bagi membantu siasatan. Kes tersebut bakal disiasat mengikut Seksyen 147 kerana merusuh, lapor Buletin TV3.
Kesemua pelajar yang ditahan dilaporkan menangis ketakutan ketika dibawa ke mahkamah kerana kesal dengan perbuatan membuli. Haa baru tahu takut?
Mereka semua ditahan selepas pihak polis mengadakan sesi kawad cam di asrama kolej berkenaan bagi mengenalpasti suspek yang terlibat dalam kejadian buli itu.
Buat masa ini, mangsa masih dirawat di Wad Dua Melor di HSNZ sehingga pulih dari kecederaannya.
Beringat-ingatlah sebelum berbuat apa-apa. Kalau nak menyesal sekarang pun tak ada guna!
Baca: Penuntut UPNM Meninggal Dunia Didera Rakan Dengan Seterika Wap Hingga Melecur Di Dada