in

Program Rancakkan MADANI: Mempamerkan Pencapaian dan Memperkukuh Hubungan Kerajaan-Rakyat

ft rancakkan madani

Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2025 (Program Rancakkan MADANI) akan diadakan buat kali pertama di Dataran Putrajaya, Putrajaya, dari 5 hingga 7 Disember 2025.

Dianjurkan oleh Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), program berskala nasional ini bertujuan untuk memaparkan pencapaian, kemajuan dasar, serta keberhasilan inisiatif 2025 secara telus dan terus kepada rakyat.

Penganjuran ini memberi peluang kepada rakyat untuk memahami dengan lebih jelas hala tuju serta matlamat Kerajaan, selain melihat bagaimana pelaksanaan pelbagai inisiatif memberikan manfaat kepada komuniti dan sektor ekonomi.

584822005 1187036643571218 464425176214252346 n

Program ini merupakan kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI (PSBKM) dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) yang telah menjadi tradisi laporan tahunan Kerajaan MADANI secara terus kepada rakyat. Ini sekaligus menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan penyampaian pelaporan prestasi secara berkala yang telus, terbuka, dan sentiasa berpaksikan rakyat.

Program Rancakkan MADANI juga bertindak sebagai platform untuk mempertemukan rakyat dengan pemimpin negara. Kehadiran YAB Perdana Menteri, Jemaah Menteri, serta pimpinan tertinggi Kerajaan sepanjang program ini membuka ruang untuk beramah mesra, mendengar pandangan rakyat, dan memahami keperluan masyarakat secara lebih dekat.

Ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan yang lebih erat antara kerajaan dan rakyat. Pada hari terakhir, Majlis perasmian penutupan akan disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, diikuti sesi townhall sebagai wadah dialog terbuka antara pimpinan negara dan masyarakat. YAB Perdana Menteri juga dijadualkan mengadakan sesi walkabout di sekitar tapak program untuk bertemu dan berinteraksi secara dekat dengan pengunjung.

Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA): Memperkukuh Mutu Penyampaian

Salah satu komponen utama Program Rancakkan MADANI ialah penganjuran Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2025. Konvensyen ini berfungsi sebagai platform untuk mempromosikan dan menyebar luas Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA).

Melalui pendekatan Associated and Integrated Strategy, ARPA digerakkan bagi memastikan Perkhidmatan Awam kekal cekap, berintegriti, dan benar-benar berfokus kepada keperluan rakyat, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Matlamatnya adalah untuk membolehkan masyarakat menilai sendiri usaha pembaharuan yang sedang digerakkan oleh Kerajaan dalam memperkukuh mutu penyampaian Perkhidmatan Awam.

Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam akan menampilkan ucaptama oleh kedua-dua YAB Timbalan Perdana Menteri serta siri forum yang menghimpunkan barisan panel yang terdiri daripada tokoh dan pemimpin merentas pelbagai sektor.

Perbincangan ini diadakan untuk membuka ruang yang lebih komprehensif mengenai hala tuju dan masa depan reformasi perkhidmatan awam.

Pelbagai Segmen dan Aktiviti Menarik Menanti Pengunjung

Program Rancakkan MADANI selama tiga hari ini bakal menghimpunkan pelbagai inisiatif dan program utama Kerajaan melalui lapan segmen utama di bawah satu bumbung buat julung kalinya.

Pengisian utama program ini dirangka untuk memaparkan ekosistem dasar Kerajaan secara lebih holistik, mudah diakses, dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat. Segmen-segmen tersebut termasuk:

  • Produk Rakyat MADANI

  • Kesejahteraan Rakyat MADANI

  • Kepengerusian ASEAN dan hubungan antarabangsa

  • Ukhuwah Rakyat MADANI

  • Belia MADANI

  • Tahun Melawat Malaysia 2026

  • Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA)

Selain perkhidmatan secara langsung yang ditawarkan oleh kementerian/agensi, pelbagai aktiviti menarik turut menanti pengunjung seisi keluarga.

591145142 17983740566921539 8113584819275907984 n tile

Antara tarikan utama termasuk:

  • Pameran aset pertahanan
  • Perkhidmatan kesihatan
  • Pembudayaan komponen TVET dan STEM AI
  • Karnival kerjaya dan mini karnival pelancongan
  • Jualan Rahmah, termasuk Jualan Kembali ke Sekolah, agro, dan barangan sukan
  • Perkhidmatan percuma seperti penukaran topi keledar, tukar minyak enjin motosikal, dan gunting rambut
  • Pesta buku, pertunjukan kucing, Fiesta Coffee, dan agihan biji benih/anak pokok
  • Pertandingan sukan jalanan, e-sukan, dan deretan trak makanan
Orang ramai dijemput hadir bagi memanfaatkan perkhidmatan dan menyertai aktiviti-aktiviti menarik ini. Program akan berlangsung dari 9.00 pagi hingga 10.00 malam pada Jumaat dan Sabtu, dan dari 9.00 pagi hingga 6.00 petang pada hari Ahad.