Selepas kes #JusticeForBella mendapat perhatian di seluruh Malaysia, keluar pula cerita tentang kematian Muhammad Adam Rizqi iaitu seorang bayi sindrom down yang telah meninggal dunia pada 3 Mei, 2020 yang lalu di Rumah Bonda.
Dikatakan, kematian Baby Adam ini dipercayai disebabkan oleh penderaan atau pengabaian hingga menyebabkan Ketua Pejuanita Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah membuat laporan polis dan meminta agar polis membuka semula siasatan ke atas kematian bayi ini.
Ekoran ini, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Ashari Abu Samah mengatakan bahawa pihak polis telah pun membuka kertas siasatan ke atas kes kematian Baby Adam bagi menyiasat sama ada wujud elemen jenayah atau tidak.
Pihak polis juga akan turut mengambil kenyataan dari pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali bagi membantu siasatan, lapor The Star.
Menurut Ashari, sepatutnya Siti Bainun dipanggil lebih awal pun begitu kerana sedang berhadapan dengan perbicaraan, ia terpaksa ditangguhkan.
Setakat ini kita merakam keterangan beberapa individu dalam kes ini, termasuk Siti Bainun.
“Kita sepatutnya merakam keterangan daripada wanita itu beberapa hari yang lalu, tetapi kami membuat keputusan untuk menangguhkan proses itu kerana dia sedang menghadapi perbicaraan di Mahkamah Jalan Duta.”
Bukan itu sahaja, pihak polis juga turut mencari individu yaang dikenali sebagai Cikgu Fadli untuk membantu siasatan selepas lelaki ini mendakwa tiada proses bedah siasat dibuat ke atas mayat Baby Adam.
Polis sedang mengesan lelaki itu yang menyebarkan dakwaan yang tidak berasas dan sekadar spekulasi itu.
“Mana dia peroleh maklumat bahawa Adam tidak dibuat bedah siasat selepas kematiannya?
“Dakwaan individu itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan awam dan membawa kepada tanggapan kononnya polis tidak melakukan siasatan yang sebaiknya dalam kematian Adam.”
Pihak polis mengatakan individu tersebut sepatutnya merujuk dahulu perkara ini dengan pihak polis bagi mendapatkan fakta sebenar tentang kes tersebut.
Baca: Siti Bainun Tidak Direman Kerana Sedang Menjalani Kuarantin Covid-19, Dibebaskan Dengan Jaminan