Bila kesempitan wang, kita memang sanggup lakukan apa sahaja walaupun tahu risiko yang bakal dihadapi sekiranya gagal melunaskan hutang.
Ini apa yang berlaku kepada seorang wanita di Thailand yang telah ditampar dengan kulit durian kerana gagal bayar semula pinjaman yang dibuatnya dari Ah Long, Khaosod.
Wanita bernama Duangduen ini mengatakan yang dia telah mengambil pinjaman sebanyak 20,000 baht (RM2,434.10) kepada peminjam wang untuk membuka kedai bersama rakannya.
Bagaimanapun, segala-galanya menjadi kacau apabila faedah yang perlu dibayarnya meningkat sehingga dia perlu membayar 700,000 baht (RM85,193.59) kepada Ah Long tersebut.

Jelasnya, sebelum ini dia telah membuat bayaran secara berkala namun disebabkan oleh pandemik, situasi kewangannya menjadi sempit dan dia telah mengalami kerugian bagi membolehkan kedainya terus beroperasi.
Ekoran ini, Ah Long tersebut telah mengupah pengutip hutang yang kemudiannya telah mengganggu wanita ini di rumahnya serta mengugutnya.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila pemungut hutang tersebut mencadangkan agar wanita ini meminjam lagi duit bagi membayar hutang lamanya.
Disebabkan ini, dia akhirnya terpaksa membayar hutang sebanyak 20,000 baht (RM2,434.10)) sehari hingga menyebabkan kawannya melarikan diri meninggalkan Duangduen keseorangan.

Tak tahu apa perlu dibuat, Duangduen kemudiannya menghubungi bahagian pengurusan hutang kerajaan yang kemudiannya telah menelefon Ah Long tersebut bagi berbincang untuk hentikan bayaran buat seketika.
Malangnya, pemungut hutang kemudiannya telah melawat rumah wanita ini dan memaksanya untuk membayar semua hutang-hutangnya.
Situasi menjadi bertambah buruk pada 17 Julai lalu apabila Duangduen perlu hentikan motornya di tepi jalan untuk menjawab panggilan telefon sebelum seorang wanita datang menghampirinya dan menamparnya menggunakan kulit durian dan melarikan diri.
Duangduen telah pun membuat laporan polis mengenai kejadian ini, namun tiada tindakan lanjut diambil. Kini, wanita ini telah meminta media untuk tularkan ceritanya bagi mendapatkan pertolongan kerana sehingga sekarang dia masih diganggu dan diugut.
Baca: Pemilik ‘Barber Shop’ Akui Rasa Tertekan Akibat PKP, Sampai Ada Yang Pinjam Ah Long

