in

Pihak Berkuasa Sedang Kenalpasti Serpihan Pesawat Ditemui, Mungkin Milik Pesawat ATR 42-500

7pesawat

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Operasi mencari dan menyelamat pesawat ATR 42-500 milik Indonesia Air Transport (IAT) yang dilaporkan hilang di kawasan Gunung Bulusaraung, Kabupaten Maros, Sulawesi Selatan, masih diteruskan dengan penglibatan pasukan Basarnas, TNI-Polri serta penduduk setempat.

Pencarian yang bermula sekitar jam 1 tengah hari waktu tempatan itu berdepan pelbagai kekangan, terutama keadaan cuaca tidak menentu di kawasan pergunungan berkenaan. Hujan berterusan dan kabus tebal menyukarkan pergerakan pasukan penyelamat serta penggunaan dron bagi meninjau lokasi dari udara.


Difahamkan, ketika pesawat berkenaan terputus hubungan, keadaan cuaca di laluan penerbangan dilaporkan mendung dengan suhu sekitar 18 hingga 34 darjah Celsius. Faktor cuaca itu dipercayai menyumbang kepada kesukaran mengesan lokasi sebenar pesawat.

Screenshot 2026 01 18 at 10.32.55 AM

Dalam perkembangan berkaitan, pasukan SAR dilaporkan menemui serpihan yang disyaki sebahagian daripada pesawat terbabit di lereng Gunung Bulusaraung. Serpihan berkenaan telah dibawa ke rumah ketua dusun di kawasan berkenaan bagi tujuan pengesahan lanjut.

Selain cuaca, operasi turut terjejas akibat gangguan sistem komunikasi, termasuk kegagalan Pemancar Lokasi Kecemasan (ELT) pesawat yang menyukarkan penentuan koordinat tepat. Bagi mengatasi kekangan itu, pencarian dari udara menggunakan helikopter akan diteruskan, tertumpu di kawasan cerun dan lereng gunung.

Sebelum ini, pesawat ATR 42-500 milik IAT yang dalam penerbangan dari Yogyakarta ke Makassar dilaporkan terputus hubungan ketika melalui kawasan pergunungan Leang-Leang. Pesawat berkenaan membawa seramai 11 individu terdiri daripada lapan kru dan tiga penumpang, dan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin sekitar tengah hari.

Sumber: Berita Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.