in

Pertuduhan Kes Kematian Rocky Diadakan Esok, Polis Nasihat Jangan Buat Perhimpunan

Anjing Rocky Pertuduhan Esok

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Isu tular mengenai kes kematian anjing yang dikenali sebagai Rocky ketika operasi tangkapan di Pelabuhan Klang baru-baru ini telah memasuki proses baharu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar memaklumkan bahawa Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) telah mengeluarkan arahan pertuduhan selepas siasatan kes selesai dijalankan.


Prosiding berkenaan dijadualkan berlangsung di Mahkamah Majistret Klang pada esok hari (Khamis). Beliau turut mengesahkan bahawa pertuduhan tersebut tidak hanya melibatkan pihak polis, malah merangkumi agensi penguat kuasa yang lain.

“Pertuduhan ini dijangka bukan sahaja membabitkan pihak polis, malah agensi penguat kuasa lain juga,” katanya.

Bagaimanapun, pihak polis enggan mengulas lanjut mengenai identiti individu yang bakal dituduh serta seksyen undang-undang yang akan digunakan.

Images 1 1

Artikel berkaitan: Insiden Kematian Rocky: Datuk Bandar MBDK Tegaskan Tangkapan Ikut SOP

Artikel berkaitan: Shah Nafi Cederakan Anjing Rocky, Peguam Sedia Saman Individu & Portal Sebar Fitnah

Polis nasihat jangan buat perhimpunan

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak mengadakan sebarang perhimpunan atau tunjuk perasaan berhubung isu berkenaan.

Pihak polis menegaskan bahawa siasatan telah dijalankan secara adil, saksama, dan tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.

“Justeru kepada masyarakat, berilah ruang dan kepercayaan kepada perundangan untuk melaksanakan bahagian mereka,” katanya.

Bagi memastikan ketenteraman awam sepanjang prosiding berlangsung, kawalan keselamatan di Mahkamah Majistret Klang akan diperketatkan.

Orang ramai yang hadir di kawasan mahkamah diingatkan supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan tidak mencetuskan sebarang kekecohan.

Terdahulu, kes ini disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan membunuh haiwan.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.