Baru-baru ini, Amerika Syarikat dikejutkan dengan berita kehilangan seorang YouTuber Gabriella (Gabby) Petito selepas pergi road trip merentas negeri dengan tunangnya Brian Laundrie.
Pergi sekali, balik sorang
Tambah mengejutkan, Brian dilaporkan telah pun pulang ke rumahnya tanpa Gabby pada 1 September lalu.
Menurut Pihak Polis Suffolk, New York, ibu bapa Gabby telah laporkan kehilangannya pada 11 September selepas tak bercakap dengan anak mereka itu sejak minggu terakhir Ogos lalu.
Bulan lepas, pasangan ini telah pun memuat naik video road trip mereka bertajuk “VAN LIFE | Beggining Our Van Life Journey.” di YouTube. Vlog berdurasi 8 minit ini menunjukkan Gabby dan Brian memandu van mereka merentas California, Utah dan negeri-negeri lain.
Menurut ibu Gabby, Nicole Schmidt, kali terakhir dia bercakap dengan anaknya menerusi FaceTime adalah pada 24 Ogos lalu dan sering menerima mesej sehingga 30 Ogos. Bagaimanapun, Nicole tak pasti jika mesej itu dihantar sendiri oleh Gabby atau pun tidak.
Tunang diamkan diri, tak beri kerjasama
Sementara itu, pihak polis mengeluarkan kenyataan mengatakan yang Brian telah pun pulang ke rumah keluarganya pada 1 Sept lalu, 10 hari sebelum keluarga Gabby membuat laporan kehilangannya.
Setakat ini, Brian tak memberikan kerjasama untuk disoal oleh penyiasat atau memberikan apa-apa kenyataan yang boleh membantu siasatan.”
Pihak polis juga turut mengesahkan yang Brian kini merupakan suspek utama kes ini dan mengatakan yang van mereka telah pun diperiksa untuk mencari bukti.
Brian yang tak mahu bekerjasama dengan polis ini kini telah pun mengupah peguam untuk membelanya.
Macam kes Chris Watts
Manakala di media sosial, ramai netizen telah mula membuat spekulasi tentang kehilangan Gabby. Walaupun ada yang mendoakan agar Gabby pulang semula dalam keadaan selamat, ramai juga menganggap Gabby telah dibunuh oleh Brian.
Bukan itu saja, beberapa netizen turut samakan kes ini seperti Chris Watts, lelaki yang bunuh isteri dan anak-anaknya kerana mempunyai wanita lain. Malah, ada yang cakap muka Brian sama macam Chris Watts!
Keluarga Gabby kini telah pun melancarkan GoFundMe dan kempen di Facebook ‘Find Gabby’ sebagai usaha untuk mendapatkan maklumat dan dana bagi mencari anak mereka.
Sumber: E! News, YouTube, Daily Mail