Pengacara Roslan Shah atau lebih mesra dipanggil Cik Lan meluahkan rasa terkilannya terhadap personaliti aktivis, Ebit Lew gara-gara membatalkan penglibatan dalam sebuah acara jualan yang dijadualkan berlangsung di Singapura pada Jumaat ini.
Menurut Roslan, pihak pengurusan Ebit yang berurusan dengannya sebelum ini tidak memaklumkan kepadanya tentang keberangkatan aktivis berkenaan ke Tanah Suci Mekah bagi mengerjakan haji.
Tambahnya lagi, perkara tersebut amat dikesalkan kerana pihak Ebit tidak memberitahunya langsung tentang perkara berkenaan sehinggalah pihak penganjur sendiri menghubungi Roslan apabila melihat perkongsian Ebit yang sudah berada di Mekah.
Menurut laporan mStar, Roslan ada berkongsi beberapa paparan perbualannya bersama pihak pengurusan Ebit dan mereka mengesahkan untuk terlibat sambil berkongsikan gambar Ebit lengkap berbaju melayu tanda teruja untuk turut serta.
Tambah Cik Lan, disebabkan pembatalan tersebut, pihak penganjur acara di Singapura berkenaan terpaksa menanggung kerugian hampir SGD10,000 (sekitar RM34,600) dari segi kos penginapan, pengiklanan dan juga sewaan tapak.
Apa yang lebih dikesalkan, Roslan terpaksa berdepan dengan pihak penganjur kerana dia yang bertanggungjawab sebagai pengantara untuk membawa selebriti untuk terlibat dalam acara berkenaan.
Menurutnya, dia hanya membantu selebriti untuk mendapatkan tempat berniaga, namun apabila perkara yang tidak diingini sebegini berlaku, namanya menjadi buruk kepada pihak penganjur.
Tambahnya lagi, perkongsian di media sosial berkenaan dibuat bukan untuk memburukkan keadaan sambil memahami ibadah haji perlu diutamakan. Namun apa yang dikesalkan adalah tindakan pihak Ebit yang tidak memaklumkan perkara berkenaan kepadanya.
Dalam pada itu, Cik Lan berharap pihak Ebit dapat membayar ganti rugi bagi kos penginapan hotel di Singapura yang telah ditempah untuk tempoh tiga hari di sana.
Pun begitu, menurut kemaskini terbaharu di Facebook Roslan Shah, dia sendiri akan membayar semula ganti rugi berkenaan kepada pihak penganjur walaupun ia bukanlah salahnya.
Sumber : mStar
Baca : Kes Ebit Lew: Telefon Bimbit Ada Sejarah Layari Laman Web Lucah