in

Penduduk Islam Sri Lanka Tak Hirau Amaran Serangan Balas, ‘Berdegil’ Nak Tunai Solat Jumaat Di Masjid

Untitled Collage 10

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

“Semua jemaah sedang berdebar dan ketakutan,” kata Abdullah Mohamed, sewaktu beliau sedang bersiap untuk menunaikan solat di Masjidus Salam Jumma Sri Lanka semalam.

Sejumlah umat Islam Sri Lanka semalam dilapor ‘mengingkari’ nasihat pihak berkuasa agar mereka tidak pergi ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat — susulan amaran berjaga-jaga yang dikeluarkan berhubung kemungkinan berlakunya serangan susulan di negara itu.


Meskipun diselubungi kebimbangan, mereka tetap membulatkan hati dan melawan ketakutan itu demi memenuhkan saf solat Jumaat di masjid-masjid berhampiran.

AP melaporkan, beberapa jam sebelum keputusan untuk tetap meneruskan solat Jumaat itu dibuat kebanyakan penduduk berada dalam keadaan takut dan khuatir.

Mereka telah dinasihatkan supaya menunaikan solat di rumah, kerana terdapat keperluan untuk melindungi keluarga dan harta-benda milik mereka.

Namun semakin menghampiri masuknya waktu Zuhur, pihak masjid kemudian memutuskan untuk membuka pintunya kepada penduduk Islam — sebelum melaungkan panggilan menuju kejayaan.

Lalu, setiap barisan saf pun dipenuhi jemaah yang nekad hadir.

Selain dikawal pihak berkuasa yang lengkap bersenjata di luar masjid, beberapa sukarelawan turut berkawal di beberapa lokasi berhampiran untuk melindungi jemaah dan memerhatikan sekiranya terdapat mana-mana individu yang mencurigakan.

Difahamkan, pihak berkuasa Sri Lanka mengerah hampir 10,000 tenteranya untuk ditempatkan di seluruh negara bagi mengawal keselamatan di pusat-pusat keagamaan.

Beberapa siri serangan sewaktu sambutan Hari Easter di negara itu minggu lalu, telah mengorbankan lebih 300 mangsa selain mencederakan ratusan yang lain.

Ia secara tidak langsung menimbulkan ketegangan antara dua komuniti berlainan agama; iaitu Kristian yang menjadi mangsa serangan dan Islam yang dituduh sebagai pelaku serangan.

Perlu diingat, Islam adalah kumpulan minoriti di negara yang majoritinya merupakan penganut agama Buddha itu.

Sejarah sengketa Sri Lanka sebelum ini menyaksikan penganut Islam menjadi sasaran kebencian, sejak perang saudara dengan pemberontak Tamil berakhir hampir sedekad lalu.

Dalam khutbah Jumaat di Masjid Salam Jumma semalam, khatib turut mengingatkan jemaahnya mengenai hakikat tersebut.

Lalu, jemaah berdoa memohon pertolongan Rabbul Alamin sehingga masing-masing mengalirkan air mata — mengharapkan kedamaian yang berpanjangan.

 

Baca: Bom Gereja Sri Lanka, Kumpulan Pelampau Islam Dituduh Dalang Utama?

Untitled Collage 1 2

 

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.