in

Bom Gereja Sri Lanka, Kumpulan Pelampau Islam Dituduh Dalang Utama?

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada kepimpinan tertinggi Sri Lanka berhubung insiden serangan berdarah di tiga gereja dan hotel, yang mengejutkan negara itu hari ini.


Namun di laman-laman sosial, kumpulan pelampau Islam Sri Lanka — National Thowheeth Jama’ath, NJT — sudah disebut-sebut sebagai dalang utama yang bertanggungjawab melakukan serangan itu.

Ketua Polis Sri Lanka, Pujuth Jayasundara dilapor berkata — pihaknya telah memberi amaran kepada pegawai-pegawai tertinggi negara itu, bahawa NJT merancang untuk melakukan serangan bom bunuh diri yang menyasarkan beberapa gereja utama di Sri Lanka.

Kenyataan itu juga menyebut, turut menjadi sasaran serangan adalah Suruhanjaya Tinggi India di Colombo.

Namun petikan kenyataan itu mula dikeluarkan oleh media India sendiri dan bukannya dari agensi media Sri Lanka — sebelum ia mula disebarkan di pelbagai platform dalam talian seperti JihadWatch dan sebagainya.

Lalu segelintir pengguna media sosial mempersoalkan tindakan India yang ‘lebih sudu dari kuah’ itu seperti mempunyai agenda tersendiri.

Setakat artikel ini ditulis, Perdana Menteri Sri Lanka Ranil Wicramesighe masih belum memberi sebarang kenyataan berhubung individu yang disyaki terlibat dalam serangan tersebut.

Dalam kemunculan pertamanya di stesyen televisyen tempatan beberapa jam sejurus kejadian berlaku, beliau hanya menzahirkan ucapan takziah kepada semua mangsa terlibat —  selain menyifatkan pengeboman itu sebagai satu krisis yang bertujuan mencetuskan ketidakstabilan di negaranya.

Walau siapa pun yang bertanggungjawab di sebalik kejadian ini, mereka sewajarnya dikutuk kerana keganasan tidak punya agama.

Dan kejadian seumpama ini hanya mencemarkan kerukunan setiap umat beragama yang sebenarnya dapat saling hidup aman antara satu sama lain — meskipun berbeza anutan dan fahaman.

 

Baca: Sambutan Hari Easter Berdarah, Letupan Bom ‘Menggegarkan’ Tiga Buah Gereja Di Sri Lanka. Angka Korban Terus Meningkat!

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.