Pemilik pikap jenis Isuzu yang tular kerana memaparkan pelekat tulisan Hebrew mendakwa sudah menggunakan pelekat berkenaan sejak tahun 2012.
Menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, lelaki berusia 59 tahun itu mengakui bahawa pelekat yang dilekatkan pada belakang kenderaan terbabit telah ditempah di sebuah kedai di Selangor kerana begitu minat dengan tulisan asing.
“Pemilik pikap itu seorang pesara kerajaan yang telah bersara empat tahun lalu. Dia mendakwa memang meminati seni tulisan seperti Greek, Rusia serta Hebrew dan telah menempah pelekat itu di sebuah kedai di Selangor.
“Dia ada melihat tulisan asal ‘Yisrael Beiteinu’ yang bermaksud Israel Rumahku dan mengubahnya kepada ‘Malizia Beiteinu’ iaitu Malaysia Rumahku, lalu menampal pelekat itu di pikap tersebut sejak 2012 tetapi baru disedari orang ramai dan tular di media sosial.”
Artikel berkaitan: Polis Siasat Kereta Papar Pelekat Bertulisan Hebrew, Rupanya Milik Lelaki Dari Gemencheh
Artikel berkaitan: “Malaysia rumah kami” – Pelekat Tulisan Hebrew Di Kereta Timbulkan Kekecohan Netizen
Lelaki itu yang hadir bagi memberi keterangan di Balai Polis Ayer Kuning Selatan turut menjelaskan maksud perkataan berkenaan ialah ‘Malaysia Rumahku’ dan bukannya ‘Malaysia Milik Kami’ seperti yang ditularkan netizen.
“Setakat ini, hasil keterangan yang kita ambil, dia menyatakan tulisan itu tidak ada kena-mengena dengan Israel dan hanya mahu menzahirkan semangat cintakan negara menggunakan tulisan Hebrew. Ini adalah keterangan dia, bukan bermakna kita percaya bulat-bulat,” katanya.
Polis bagaimanapun akan meneruskan siasatan termasuk mendapatkan pandangan pakar bahasa untuk melihat jika ada elemen yang mencurigakan.
Susulan kes itu, polis tidak melakukan sebarang tangkapan dan telah mengarahkan supaya pelekat tersebut ditanggalkan daripada kenderaan terbabit sementara siasatan dijalankan.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketakutan awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian telekomunikasi.
Sumber: Kosmo!