Sudah menjadi peraturan di sekolah yang melarang pelajar lelaki untuk berambut panjang dan sentiasa mengekalkan kekemasan diri dengan menyimpan rambut pendek.
Jika pelajar melanggar peraturan ini, sesetengah sekolah membenarkan guru untuk memotong rambut pelajar berkenaan meskipun perkara ini tidak begitu digemari oleh pelajar itu sendiri.
Pukul dan ugut bunuh guru sebab marah rambut dipotong
Namun tidak sangka pula perkara ini menjadi sebuah isu yang serius apabila baru-baru ini, seorang guru disiplin wanita telah diugut bunuh dan dipukul dengan penyapu hingga cedera di mata oleh seorang pelajar lelaki gara-gara memotong rambutnya.
Menurut New Straits Times, pelajar berusia 15 tahun dari SMK Bukit Sentosa 2, Rawang itu pada mulanya telah dikesan berambut panjang semasa di dalam kelas.
Perkara tersebut membuatkan guru disiplin berkenaan bertindak untuk memotong rambut pelajar itu, namun pelajar tersebut dikatakan melawan dan didakwa telah menyerang guru tersebut serta mengugut untuk membunuhnya.
“Guna penyapu untuk serang guru dan cederakan mata kirinya”
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superitendan Arshad Kamaruddin berkata, guru berkenaan yang berusia 52 tahun kemudian membuat laporan polis di balai polis Bukit Sentosa pada jam 3.14 petang, Rabu lepas.
Guru tersebut memberitahu pada tengah hari semalam (Rabu), ada seorang pelajar lelaki menyimpan rambut panjang. Selepas mengenalpasti pelajar tersebut, dia bertindak memotong rambutnya.
“Perkara ini membuat pelajar tersebut naik angin, dia kemudian menyerang guru berkenaan menggunakan penyapu dan mencederakan mata kirinya. Dia juga dituduh mengugut untuk membunuhnya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
https://twitter.com/redzuannewsmpb/status/1555167943301902337?s=21&t=F-DeMMoiL5uSugp3zvj0Vg
Polis kemudian telah menahan pelajar terbabit dan melakukan ujian saringan air kencing di mana keputusannya adalah negatif
Pelajar tersebut juga akan ditahan reman hingga 5 Ogos ini untuk siasatan lanjut. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan ugutan jenayah.
Baca: “Ugut cara halus ni” – [VIDEO] Pelajar Lelaki Gerun Lepas Cikgu ‘Unboxing’ Mesin Potong Rambut