Seorang pelajar lelaki maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat bangunan sekolah di Seremban, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, setakat ini kes yang dipercayai berlaku kira-kira jam 6 pagi itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Remaja lelaki berusia 16 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira jam 7.45 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Artikel berkaitan : Pelajar Maut Lepas Panjat Tembok Sekolah, Terjatuh Masuk Dalam Perigi
Artikel berkaitan : Pelajar U Tempatan Maut Terjatuh Tingkat 34 Gara-gara Cuba Ambil Sehelai Baju Tersangkut Di Balkoni
Pelajar itu ditemui oleh guru dan pelajar di sekolah terbabit dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah. Polis menerima panggilan pada jam 7.11 pagi daripada pihak sekolah memaklumkan mengenai kejadian itu.
“Selepas kejadian itu, pihak sekolah segera menghubungi ambulans. Namun, kakitangan perubatan mendapati pelajar itu tidak mempunyai tanda-tanda masih hidup (sudah tidak bernyawa)”
“Pelajar itu maut setelah dikesan mengalami beberapa kecederaan pada bahagian kepala, bahu kanan dan muka. Punca kematian disebabkan akibat terjatuh dari tempat tinggi.
Susulan itu, pihak polis memanggil beberapa saksi kejadian termasuk guru dan pelajar sekolah terbabit bagi merakamkan keterangan mereka. Pihak sekolah turut memaklumkan akan membantu siasatan penuh kes ini, dan akan bersedia untuk memberikan khidmat kaunseling kepada pelajar yang trauma menyaksikan insiden itu.
Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan melangkaui undang-undang dan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian.
Difahamkan, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Rembau bagi menjalankan proses bedah siasat.
Banyak pula kes pelajar terjatuh bangunan sekolah ni kan? harap-harap keluarga bertabahla ye..
Sumber : Sinar Harian