“Pelacur cilik” itu gelaran yang diberi netizen kepada golongan kanak-kanak berusia 10 hingga 14 tahun yang sanggup menjual diri semata-mata untuk mendapatkan mata di Bigo Live.
Menurut Pengerusi IKRAMTeens Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Mohd Fadhil Othman, selain di Bigo Live, kanak-kanak berkenaan turut aktif di beberapa aplikasi media sosial seperti Instagram dan WeChat – hasil pemantauan yang dibuat pihaknya.
Ini kerana katanya mata yang diperoleh menerusi Bigo Live itu mampu menjana pendapatan sekiranya ramai penonton yang melihat aksi mereka.

“Hasilnya kami menemui kumpulan kanak-kanak yang ada antaranya semuda 10 tahun aktif bersiaran langsung di Bigo Live selama hampir lapan jam sehari pada hujung minggu.
“Amat menyedihkan apabila penampilan kanak-kanak ini berubah daripada berpakaian lengkap ketika mula bersiaran jam 8 malam menjadi pakaian ‘cukup syarat’ sekitar jam 2 hingga 4 pagi.
“Istilah seperti ‘sawer’ dan ‘payung’ bermaksud mereka diminta penonton untuk mendedahkan bahagian tubuh tertentu asalkan tidak berbogel demi meraih mata yang memberi mereka pendapatan,” katanya, memetik Harian Metro.