Datuk Seri Najib Razak bersama ahli keluarganya berdepan pelbagai tuntutan dan tindakan kewangan yang keseluruhannya melebihi RM21 bilion.
Jumlah berkenaan merangkumi beberapa perkara termasuk denda akibat sabitan jenayah, tuntutan dalam kes sivil serta tunggakan cukai yang melibatkan Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan anak mereka, Datuk Mohd Nazifuddin.
Artikel berkaitan : “Bantu ringankan beban” – UMNO Lancar Tabung Bayar Denda RM50 Juta Tahanan Najib
Artikel berkaitan : [TERKINI] Pengampunan Diraja: Permohonan Pengampunan Najib Razak Ditangguh
Najib: Kes 1MDB & SRC International
Jumlah paling besar Najib sedang berdepan datang daripada kes membabitkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Dalam kes tersebut, Mahkamah Tinggi mendapati beliau bersalah atas 4 pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram dan beliau dikenakan denda berjumlah RM11.38 bilion.
Mahkamah turut memerintahkan Najib untuk membayar RM2.08 bilion sebagai jumlah yang boleh dituntut semula berkaitan pertuduhan pengubahan wang haram tersebut. Namun begitu, sabitan dan hukuman berkenaan masih dalam proses rayuan selepas Najib mengemukakan rayuan.
Pada 31 Mac lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu membayar ganti rugi sebanyak AS$1.3 bilion (RM5.25 bilion) kepada syarikat berkenaan susulan saman sivil yang difailkan.
Pelaksanaan penghakiman tersebut bagaimanapun ditangguhkan buat sementara waktu selepas Najib memperoleh penangguhan sehingga rayuannya didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Dalam masa sama, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) turut menuntut RM1.69 bilion daripada Najib. Tuntutan tersebut melibatkan tunggakan cukai pendapatan tambahan berserta penalti bagi tahun pentaksiran antara 2011 hingga 2017.
Prosiding kebankrapan terhadap Najib berhubung perkara itu kini digantung sementara menunggu keputusan rayuan cukainya di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan.
Bagi kes penyelewengan dana SRC International pula, Najib perlu membayar denda RM50 juta selepas jumlah asal RM210 juta dikurangkan oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau juga dikehendaki membayar RM50 juta di bawah pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah bagi kes jenayah SRC International.
Rosmah: Berdepan tuntutan ratusan juta ringgit

Sementara itu, Datin Seri Rosmah Mansor juga mempunyai beberapa liabiliti kewangan berkaitan kes yang dihadapinya. Beliau dikenakan denda RM970 juta selepas disabitkan atas tiga pertuduhan rasuah berhubung projek hibrid solar yang melibatkan 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Projek berkenaan mempunyai nilai RM1.25 bilion. Bagaimanapun, sabitan dan hukuman terhadap Rosmah kini masih melalui proses rayuan. Dalam satu lagi kes sivil, Rosmah diarahkan membayar RM67.46 juta kepada Global Royalty Trading SAL, sebuah syarikat barang kemas yang berpangkalan di Lubnan. Tuntutan itu berkaitan 43 barangan kemas yang didakwa tidak dikembalikan.
Rosmah telah mengemukakan rayuan terhadap penghakiman tersebut dan diberikan penangguhan bersyarat sementara menunggu keputusan rayuan. Namun begitu, ia merupakan liabiliti sivil peribadi Rosmah dan tidak melibatkan kerajaan.
Anak Najib: Berdepan tuntutan LHDN

Sementara itu anak lelaki Najib pula, Datuk Mohd Nazifuddin, turut berdepan tuntutan kewangan daripada LHDN. Beliau diarah membayar RM37.6 juta berhubung tunggakan cukai pendapatan tambahan.
Sama seperti Najib, prosiding kebankrapan terhadap Nazifuddin juga digantung sementara menunggu keputusan rayuan berkaitan tuntutan cukainya.
Secara keseluruhannya, tindakan kewangan yang dihadapi Najib dan ahli keluarganya itu melibatkan kes jenayah, tuntutan sivil serta tuntutan cukai dengan nilai keseluruhan melebihi RM21 bilion.
Sumber: Harian Metro
