in

Bank Rakyat Serah Lebih RM2 Juta Zakat Kepada Tabung Baitulmal Sarawak

Lm Featured Image 900 X 550 Px 2160 X 1080 Px 1

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Bank Rakyat menyerahkan zakat perniagaan berjumlah lebih RM2 juta kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) bagi tahun kewangan 2025.

Majlis penyerahan tersebut berlangsung di Astana Negeri Sarawak sempena kunjungan hormat Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar.


Menurut Steven Sim, kejayaan sesebuah institusi kewangan bukan sahaja perlu diukur berdasarkan prestasi perniagaan, tetapi juga sejauh mana kejayaan tersebut dapat dikembalikan kepada masyarakat.

“Bila perniagaan berkembang, manfaatnya mesti kembali kepada masyarakat. Penyaluran zakat ini mencerminkan bagaimana prestasi perniagaan yang baik boleh diterjemahkan kepada impak sosial yang lebih besar.”

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Bank Rakyat atas komitmen berterusan dalam menunaikan tanggungjawab zakat serta menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat di Sarawak.

Malah, sejak 2016 hingga 2025, Bank Rakyat telah menyalurkan sejumlah RM17.4 juta zakat perniagaan kepada Sarawak.

Lebih RM800 Juta Pembiayaan Disalurkan Kepada Usahawan Dan Koperasi

Img 2548

Dalam kunjungan sama, Steven Sim turut berkongsi perkembangan program keusahawanan dan koperasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di Sarawak.

Sehingga 31 Ogos 2026, melebihi RM800 juta pembiayaan telah disalurkan kepada 32,000 usahawan dan koperasi di negeri itu melalui Bank Rakyat, TEKUN Nasional, SME Bank, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SME Corp. Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Sarawak kini mempunyai 77,098 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta 1,212 koperasi dengan lebih 323,000 anggota, sekali gus mencerminkan peranan penting sektor keusahawanan dan koperasi dalam ekonomi negeri.

Steven Sim berkata, KUSKOP akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Sarawak serta agensi berkaitan bagi memperluas akses pembiayaan, memperkukuh kapasiti perniagaan dan memastikan lebih ramai usahawan tempatan dapat berkembang secara mampan.

Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Mohamad Shiblie Abg Sapuan; Ketua Pegawai Kewangan Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria; Ketua Wilayah Sarawak Bank Rakyat, Abdul Azis Rosli; serta Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Haji Misnu bin Haji Taha.

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.