in

Bukan Sekadar Hobi, Dua Gadis Berusia 11 & 13 Tahun Ini Kini Bawa Nama Malaysia Dalam Skateboard!

Ana 22

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Bagi sesetengah kanak-kanak, zaman kecil mungkin dipenuhi dengan aktiviti bermain basikal, berlari di taman atau menghabiskan masa bersama kawan-kawan. 

Tetapi bagi Chicha dan Yaya, ada satu lagi aktiviti yang berjaya mencuri perhatian mereka sejak kecil iaitu bermain skateboard. 


Menariknya, kedua-dua gadis ini bukan sekadar menjadikan skateboard sebagai hobi untuk mengisi masa lapang, sebaliknya minat yang bermula secara tidak sengaja itu akhirnya membawa mereka ke satu pencapaian besar apabila terpilih mewakili Malaysia dalam acara skateboard di Sukan SEA 2025.

 

Grom Games 2026 1

Walaupun baru berusia 11 dan 13 tahun, Chicha atau nama sebenarnya Nur Tia Adelisa Aisya Tajul Fuad Najrul serta Adelia Haziqah Amirul Hisham yang lebih mesra disapa Yaya sudah pun membawa nama Malaysia dalam sukan skateboard, masing-masing menerusi kategori Bowl dan Street.

Walaupun masih muda, kedua-duaanya membuktikan bahawa minat terhadap sesuatu perkara boleh berkembang menjadi sesuatu lebih besar apabila diberikan peluang, sokongan dan ruang untuk terus mencuba.

Jatuh Cinta Dengan Skateboard Selepas Sertai Kelas Percuma

Bagi Chicha minat terhadap skateboard bermula ketika dia berusia sekitar enam tahun apabila terdapat sebuah skatepark berhampiran rumahnya. 

Memandangkan ayahnya juga seorang pemain skateboard dan mengenali pemilik tempat tersebut, Chicha berpeluang menyertai sebuah kelas skateboard percuma yang dianjurkan di situ.

Siapa sangka, daripada sekadar mencuba kelas tersebut, Chicha terus jatuh cinta dengan sukan lasak yang sering didominasi oleh lelaki.

Grom Games 2026 4

Apabila ditanya mengenai perasaan selepas beberapa tahun bermain skateboard sehingga berjaya mewakili Malaysia di Sukan SEA, nak kelahiran Selangor ini menyifatkannya sebagai satu pengalaman yang sangat menggembirakan.

Walaupun sudah mempunyai pengalaman bertanding di peringkat antarabangsa, Chicha mengakui masih berasa gementar apabila tiba giliran untuk menunjukkan kemahirannya di hadapan orang ramai.

“Kadangkala saya rasa gementar bila tiba giliran untuk bertanding sebab kena buat semuanya sendiri dan tunjukkan trik di hadapan orang ramai.”

Namun begitu, perkara tersebut tidak menghalangnya daripada terus mencuba. Malah, antara perkara yang paling disukainya ialah apabila dapat bertemu rakan-rakan baharu menerusi komuniti skateboard.

Di Sekolah Low-Key, Tapi Rupanya Atlet Skateboard Negara!

Walaupun sudah berjaya mewakili Malaysia ke Sukan SEA 2025, Yaya sebenarnya bukan seorang yang gemar berkongsi pencapaiannya dengan orang sekeliling.

Menurut ibunya, Afizah Azroon, 46,Yaya lebih selesa menjalani kehidupan seperti biasa di sekolah dan hanya beberapa rakan rapat sahaja yang mengetahui minatnya terhadap skateboard.

Malah, pihak sekolah hanya mengetahui penglibatan Yaya dalam sukan itu apabila dia terpilih ke Sukan SEA dan perlu memohon cuti untuk menghadiri latihan pusat.

Afizah mengibaratkan situasi Yaya seperti watak dalam siri popular Hannah Montana yang menjalani dua kehidupan berbeza.

“Orang ingat dia budak biasa.Ini macam cerita Hannah Montana lah.Dia takkan bercerita achievement yang dia dapat melainkan kawan-kawan rapat yang tahu.”

Bagi Yaya, dia bukanlah tidak bangga dengan pencapaiannya, cuma dia tidak mahu menjadi perhatian di sekolah hanya kerana bermain skateboard.

Menariknya, pengalaman ke Sukan SEA juga membuka peluang buat Yaya bertemu dengan skater-skater yang selama ini hanya ditontonnya menerusi media sosial.

Walaupun mengakui berasa gementar ketika bertanding, peluang bertemu dan melihat sendiri kemahiran atlet yang dikaguminya menjadi antara pengalaman paling bermakna buat remaja berasal dari Meru Klang ini.

Daripada Belajar Asas Hingga Berpeluang Bertanding, Pentingnya Ruang Untuk Bakat Muda Berkembang

Grom Games 2026 5

Melihat perjalanan Chicha dan Yaya, jelas bahawa untuk melahirkan atlet muda, peluang untuk mencuba dan mendapatkan pendedahan sejak awal juga memainkan peranan penting.

Sebab itulah usaha menyediakan ruang dan platform untuk mereka mencuba sesuatu sukan amat penting, terutamanya bagi generasi muda yang mungkin belum pernah terdedah kepada dunia skateboard.

Antara inisiatif yang turut menyokong perkembangan sukan ini ialah program skateboard anjuran UEM Sunrise menerusi kerjasama dengan akademi skateboard tempatan, JR Skates.

Sejak 2024, program klinik skateboard tajaan UEM Sunrise telah menerima penyertaan lebih 280 kanak-kanak dan remaja menerusi 21 sesi klinik serta empat acara Grom Games di sekitar Lembah Klang, Putrajaya dan Johor.

“Inisiatif ini bukan sekadar memberi peluang kepada peserta untuk mengenali sukan skateboard, malah menyediakan laluan daripada pengalaman pertama menaiki papan skateboard sehinggalah ke peringkat pertandingan.”

Usaha tersebut diteruskan menerusi penganjuran UEM Sunrise Grom Games 2026 pada 7 November lalu di The Square, Publika Shopping Gallery, Kuala Lumpur.

Memasuki edisi kedua, pertandingan tersebut berjaya menghimpunkan seramai 131 peserta berusia antara lima hingga 35 tahun menerusi empat kategori iaitu Beginner, Intermediate, Advanced dan Open.

Selain pertandingan, kehadiran peserta dari Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor turut memperlihatkan bagaimana sukan ini mampu menghimpunkan komuniti dari pelbagai negeri.

Malah, penyertaan kanak-kanak daripada komuniti ekspatriat di Mont Kiara yang mewakili negara seperti Singapura, India, Jerman, Jepun, Korea Selatan, China, Argentina dan Amerika Syarikat turut memberikan suasana lebih berwarna-warni kepada acara tersebut.

Apa yang lebih penting, platform seperti ini memberi peluang kepada pemain baharu untuk menguji kebolehan masing-masing, mengenali rakan dalam komuniti dan mendapatkan pengalaman bertanding dalam suasana yang lebih terbuka.

Sumber: Temubual bersama Chicha & Yaya.

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.