in

Nahas Helikopter Miri: Waris Juruterbang Dan Doktor Layak Terima Faedah Perkeso

Collage 4

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Dua daripada lima mangsa yang maut selepas helikopter dinaiki terhempas berhampiran Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport) di Miri pada Selasa lepas layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Whatsapp Image 2026 09 10 At 3.59.00 Pm

Menurut Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, sebaik menerima makluman berkenaan, Skuad PERKESO Prihatin segera mendapatkan maklumat berkaitan mangsa bagi mengenal pasti kelayakan faedah yang boleh diberikan kepada waris mangsa yang terlibat.


“Hasil semakan PERKESO mengesahkan, waris kepada juruterbang helikopter Kapten Zainol Afiq bin Bee Sham, 31, layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM3,000 secara sekali bayar dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) berjumlah keseluruhan yang dianggarkan RM5,355.”

“Balunya, Nor Izzati Syamimi binti Suhaimi, 31, layak menerima faedah berkenaan secara bulanan untuk seumur hidup dengan syernya berjumlah RM3,213.00 manakala dua anaknya yang berumur 1 dan 5 tahun layak menerima faedah sama berjumlah RM2,142.00 sebulan sehingga mereka berumur 21 tahun atau sehingga tamat ijazah pertama,” – jelas Ramanan.

Sementara itu, waris Dr. Ainul Baraah binti Kamarudin, 33, iaitu suaminya, Muhammad Faiz bin Abdul Malik, 37, layak menerima FPM sebanyak RM3,000 secara sekali bayar serta akan menerima Faedah Pencen Penakat yang dianggarkan berjumlah RM1,574.10 sebulan untuk seumur hidup berdasarkan kepada syer beliau.

Whatsapp Image 2026 09 10 At 3.58.57 Pm

Ramanan dalam kenyataannya memberi jaminan PERKESO akan segera menyalurkan bantuan kepada waris mangsa bagi memastikan kelangsungan waris mangsa yang hidup terus terjamin.

PERKESO juga menerusi Skuad Prihatin PERKESO telah membuat pembayaran FPM kepada waris kedua-dua pencarum pada Rabu dan berjumpa dengan keluarga mangsa pada Khamis untuk membantu menguruskan proses tuntutan faedah.

“Bagi tiga lagi mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian berkenaan, mereka disahkan tidak mempunyai rekod caruman dengan PERKESO. Walaubagaimanapun, PERKESO akan merujuk kes tersebut ke platform Social Synergy sekiranya ada bantuan lain yang mereka boleh terima daripada agensi lain.”

“Saya dan seluruh warga KESUMA dan PERKESO menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat. Semoga keluarga kekal tabah dan kuat untuk menghadapi ujian ini,” – tambahnya.

Terdahulu, media melaporkan seorang juruterbang dan empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM) disahkan maut selepas helikopter perkhidmatan doktor udara (FDS) dinaiki mereka terhempas berhampiran Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), petang 8 September lalu.

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.