Kawasan seni kontemporari di Beijing baru-baru ini kembali menjadi buah mulut ramai di media sosial. Isu yang mencetuskan kepada perbualan ini berkait rapat dengan peristiwa misteri tentang kematian salah seorang pelakon lelaki China.
Sejak beberapa minggu lalu, pelbagai teori dan spekulasi tersebar di platform seperti Weibo, Douyin dan X, menjadikan isu ini semakin hangat diperbincangkan oleh warganet. Namun, segala dakwaan ini masih berada di tahap konspirasi kerana tiada bukti sahih yang dapat dibuktikan oleh pihak berkuasa.
Jadi, isu apa sebenarnya ni? Jom kita fahami satu-satu.
Artikel Berkaitan: Pamer Cara Penyeksaan Zaman Dahulu, Ini 5 Muzium Paling Menakutkan Di Dunia – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: “Itu anak saya!” – Ibu Dakwa Anak Diawet & Dipamerkan Di Muzium Tanpa Pengetahuannya – Lobak Merah
Muzium 798

Muzium 798 atau juga dipanggil sebagai 798 Art Zone ini asalnya merupakan kompleks industri yang dibina pada era 1950-an ketika China memerlukan pembangunan alat komunikasi untuk kerajaan.
Bangunan-bangunan ini direka dengan gaya Bauhaus oleh arkitek Jerman Timur dengan menampilkan bumbung tinggi, tingkap besar dan ruang terbuka luas, menjadikan ciri-ciri tersebut memudahkan cahaya semula jadi untuk masuk serta sesuai untuk kegiatan industri.
Selepas reformasi ekonomi berlaku pada 1980-an, banyak kilang ditutup dan bangunan ini pun lama ditinggalkan. Keadaan ini membuka peluang kepada seniman untuk menyewa ruang yang murah dan luas untuk dijadikan studio. Sejak akhir 1990-an hingga awal 2000-an, kawasan ini mula berkembang menjadi pusat kreativiti di samping berjaya menarik perhatian pelancong dan komuniti seni tempatan.
Kini, 798 Art Zone menjadi satu simbol transformasi urban iaitu dari ruang industri yang kosong menjadi pusat kreativiti yang hidup. Pengelolaan kawasan ini melibatkan gabungan entiti milik negara dan pihak swasta dengan ruang yang disewakan kepada seniman dan galeri.
Bukan sebuah muzium yang biasa

Di muzium ini sebenarnya terdapat pelbagai galeri terkenal seperti Ullens Center for Contemporary Art (UCCA) yang merupakan pusat utama bagi pameran seni moden, seni lukisan, fotografi, patung dan multimedia installation.
Selain itu, galeri lain seperti Pace Beijing pula menghubungkan seni tradisi dengan inovasi kontemporari yang membentuk naratif seni menjadi lebih variasi.
Muzium dan galeri yang terletak di 798 Art Zone ni bukan sekadar tempat melihat karya, tetapi juga menjadi ruang dialog sosial. Hal ini kerana, banyak karya sebenarnya boleh menyinggung isu politik, kehidupan manusia dan sejauh mana kita bebas mengekspresikan diri.
Contohnya, galeri yang memfokuskan konsep eksperimental seperti Human Art Installation telah menampilkan tubuh manusia atau interpretasi kematian untuk mencabar norma moral dan etika. Secara tak langsung, setiap hasil seni di muzium ini mudah menjadi tumpuan orang ramai serta memancing mereka untuk mencetus perbualan panas ekoran pamerannya yang lain daripada yang lain.
Antara konspirasi yang terkenal mengenai muzium ini adalah terdahulu seorang pelajar seni pascasiswazah pernah dibawa oleh supervisornya untuk melawat bilik simpanan bahan muzium tersebut. Dalam bilik tersebut, dia ternampak satu figura wanita mengandung yang sedang duduk di atas kerusi.

Disebabkan figura wanita mengandung tu nampak sangat realistik dengan stretch marks yang halus, urat biru dan rupa kuku yang sama seperti manusia, dia menjadi tertanya-tanya pada supervisornya yang ini pameran yang mana satu?
Tapi jawapan supervisornya hanya tambahkan lagi misteri…
Ni bukan untuk tontonan umum sebenarnya. Jangan tanya lagi,” kata supervisor itu.
Perkongsian ini sebenarnya ditulis dalam penulisan blog peribadinya, namun selepas dua minggu penulisan ini dikongsi, blog itu telah dipadam dan tidak dijumpai lagi di mana-mana sudut internet.
Beberapa karya yang dipamerkan di muzium ini telah menjadi bahan spekulasi apabila dikaitkan secara visual dengan beberapa orang yang didakwa telah hilang, terutamanya pelakon lelaki yang baru-baru ini ditemui mati.
Walaupun tiada bukti yang konkrit, namun disebabkan sebahagian pameran muzium ini adalah berunsur bagaimana seni boleh dicampur dengan fantasi dan imaginasi masyarakat, menjadikan ia cukup untuk mencetus pelbagai teori konspirasi yang sedang tular di China.
Tapi, apa kaitan dengan Yu Menglong?

Yu Menglong atau Alan Yu, seorang pelakon dan penyanyi terkenal di China, ditemui mati pada September 2025 selepas terjatuh dari sebuah bangunan di Beijing.
Menurut laporan rasmi, pihak polis menyatakan bahawa tiada unsur jenayah dan kematian tersebut berlaku disebabkan pengambilan alkohol. Ibunya juga telah tampil memberi penjelasan bahawa anaknya itu menghadapi tertekan yang melampau ekoran kerja yang banyak.
Namun, ramai orang tidak boleh menerima dan mempercayai bahawa kematian Yu Menglong ini disebabkan pengaruh alkohol yang menguasai dirinya hinggakan dia terjatuh bangunan.
Hal ini dikatakan demikian kerana beberapa orang terdekat mendakwa Yu Menglong tidak pernah menunjukkan tanda-tanda kemurungan. Sebaliknya, dia sedang sibuk menyiapkan filem pendeknya sendiri yang sepatutnya dipamerkan di Muzium 798 itu nanti. Bahkan, beberapa hari sebelum kejadian, Yu Menglong juga didapati menghadiri ke sebuah acara tertutup yang berdekatan dengan muzium tersebut.
Terdapat juga kenyataan yang agak berlawanan dengan laporan rasmi yang mendakwa malam sebelum kejadian berlaku, pelakon lelaki ini telah berkeliaran di sekitar kawasan 798 Art Zone seorang diri sambil membawa buku catatan.
Selain itu, orang ramai juga mula menyedari bahawa tiada rakaman CCTV yang menunjukkan pergerakan Yu Menglong di sekitar lokasi kejadian sebelum dia ditemui mati. Pihak polis juga menjelaskan yang mereka tidak boleh kongsikan rakaman sepenuhnya atas sebab privasi keluarganya.
Tapi disebabkan itulah ia membuatkan orang ramai mula berspekulasi dan mendakwa ada pihak sedang menyembunyikan sesuatu.

Antara sebab yang menambah kepada perkaitan pelakon China ini dengan muzium tersebut adalah Yu Menglong sangat kerap melawat ke muzium ini setiap kali dia ada masa yang lapang.
Menurut orang terdekatnya, dia selalu akan singgah ke muzium tersebut dan duduk di bangku muzium selama yang dia boleh ekoran terlalu gemar dengan suasana muzium tersebut. Yu Menglong juga pernah menjelaskan yang dia merasakan hanya di muzium itulah dia dapat bernafas dan berfikir dengan tenang di tengah-tengah kebisingan dunia hiburannya.
Mungkin disebabkan muzium ini mempunyai sejarah yang panjang serta didakwa memancarkan ‘aura’ yang sukar dijelaskan, ada dakwaaan mengatakan yang muzium tersebut boleh memberi ketenangan yang dicari oleh pelakon lelaki ini, walaupun ramai yang berpendapat muzium ini menyimpan banyak pameran misteri.
789 Art Zone didakwa mempamerkan jasad manusia yang sebenar?

Menurut Vision Times, seorang pengguna media sosial mendakwa yang muzium tersebut mempamerkan jasad manusia yang menyerupai tisu manusia serta pakaian yang sangat mirip dengan Yu Menglong, termasuklah jaket merah jambu yang dikatakan sama dengan yang pernah dipakainya dalam gambar.
Namun, ada juga dakwaan mengatakan pakaian itu mungkin milik pelakon Qiao Renliang yang telah meninggal pada tahun 2016.
Kemudian, spekulasi mula bertambah apabila gambar-gambar figura dan human installation digunakan semula sebagai ‘bukti’ bahawa jasad Qiao Renliang dan Yu Menglong serta orang-orang lain yang sudah meninggal telah dijadikan karya seni.
Namun, tiada bukti fizikal atau sumber sahih yang menyokong dakwaan ini. Cerita ini makin hari makin tersebar kerana ia telah berkembang daripada elemen seram imaginasi manusia serta misteri kepada teori konspirasi terhadap kematian Yu Menglong.
Kebanyakan cerita yang tular juga hanya berpunca daripada gambar, interpretasi seni dan pengalaman individu yang mudah disalah tafsir dalam suasana muzium yang memang terkenal dengan karya eksperimental.
Sumber: Vision Times, Pop Bela
