Sejak beberapa hari lalu, misteri ketukan pintu membelenggu penduduk di Kampung Kepis Hilir, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Masih belum diketahui dari manakah bunyi ketukan itu, satu lagi perkara timbul apabila ada beberapa orang penduduk yang mendakwa terlihat lembaga hitam.
Artikel berkaitan: Misteri Gerai Sate 50 Sen Di Klang, Individu Terkejut Rupanya Kedai Tak Wujud Hanya Ada Tapak Usang
Artikel berkaitan: Misteri Bau Busuk Terungkai, Anak OKU Rupanya Dah 4 Hari ‘Tinggal’ Dengan Mayat Bapa
Menurut laporan Harian Metro, penduduk kampung tersebut, Haslinda Hassim berkata dia terlihat lembaga hitam sebelum ia menghilangkan diri dalam gelap.
“Sebelum itu, anak sulung berusia 17 tahun keluar manakala saya hanya bersama seorang lagi anak berada di rumah. Tidak lama kemudian anak sulung menghubungi saya memaklumkan supaya menutup semua pintu dan tingkap kerana ada sebuah rumah yang sudah diganggu.
Kemudian anak balik bersama kawannya dan menyuruh saya buka pintu dapur. Tiba-tiba kami terdengar bunyi seperti objek jatuh di bahagian hadapan rumah,” katanya.
Dia turut berkongsi, disebabkan rumahnya yang tinggi, dia dapat melihat lembaga itu dengan jelas dan ia berada dalam posisi seperti merangkak.
Menurutnya lagi, setakat awal pagi tadi, sudah empat kali rumahnya diganggu dengan kejadian terakhir 2.30 pagi tadi yang mana ‘dia’ mencakar dinding serta bunyi seolah cuba mengumpil tingkap kaca.
Selain itu, seorang lagi penduduk di situ, Mariam Jonit menceritakan anaknya sempat bertentang mata dengan lembaga itu selepas kedengaran pagar rumahnya seperti digoncang.
“Ini kali kelima rumah kami diganggu. Malam tadi ketika saya bersama dua anak dan cucu berada di rumah kira-kira 9 malam, kami terdengar pintu pagar di hadapan rumah digoncang.
Anak menyelak langsir dan ternampak ‘dia’ berdiri di luar rumah. Anak jerit, ‘orang mak’ sebelum dia bergegas membuka pintu dan keluar, namun mahkluk itu lari ke arah tepi rumah.
Anak dengar bunyi tapak kaki berlari sebelum ia hilang begitu sahaja. Malah ahli keluarga berdekatan dan penduduk kampung yang mengepung rumah kami tidak menemui sebarang jejak,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Kepis Hilir, Mohmmad Sah Sulaiman berkata dia mahu gangguan di sekitar Kepis itu segera ditamatkan, inisiatif seperti bacaan Yasin serta solat hajat dilakukan selain memanggil pengamal perubatan Islam.
Sumber: Harian Metro