Pada 2009 yang lalu, Amerika Syarikat telah digemparkan dengan kehilangan misteri keluarga Jamison tanpa kesan di mana mereka pergi. Beberapa hari selepas pencarian dijalankan, pihak polis telah menemui sebuah trak pikap, tapi ia hanya berikan lebih banyak persoalan dari jawapan.
Impian keluarga ini untuk mulakan kehidupan baru telah bertukar menjadi mimpi ngeri dan kes ini juga merupakan salah satu kes paling misteri yang masih tak dapat diselesaikan di dalam sejarah moden Amerika. Nak tahu kisah lanjutnya, baca dekat bawah ni.
Artikel berkaitan: Ramai Simpati, Ini Kronologi Kehilangan Nidza Afham Yang Diakhiri Dengan Penemuan Mayat Di Sungai Klang
Artikel berkaitan: Kisah Benar Disebalik Siri Popular Netflix Tentang Kes Kehilangan Asunta, Rupanya Dibunuh Ibu Bapa Angkat?
Kehidupan keluarga Jamison
Bobby dan Sherilynn Jamison tinggal bersama anak perempuan mereka berusia enam tahun, Madyson di Eufaula, Oklahoma. Keluarga yang disifatkan sebagai pendiam dan gemar bersendiri ini mempunyai masalah kewangan dan kesihatan.
Disebabkan ini, mereka membuat keputusan untuk membuat perubahan yang drastik dalam kehidupan mereka dan membeli tanah seluas 40 ekar di kawasan pedalaman berhampiran Red Oak, Oklahoma di mana mereka berharap dapat memulakan kehidupan baru dan jauh dari masalah yang dihadapi.
Kehilangan keluarga Jamison
Pada 8 Oktober 2009, keluarga Jamison telah keluar dari rumah seperti hari-hari sebelumnya dan memandu ke kawasan gunung untuk melihat tanah yang mereka berminat untuk beli. Ini merupakan kali terakhir keluarga ini dilihat masih hidup.
Lapan hari kemudian, pada 16 Oktober 2009, pikap trak keluarga ini telah ditemui di Latimer County iaitu kira-kira satu jam perjalanan dari rumah mereka. Namun barang-barang yang ditemui di dalam kenderaan mereka ini menunjukkan yang mereka tak merancang untuk keluar dari trak tersebut untuk satu jangka masa yang lama.
Di dalam trak tersebut, pihak polis telah menemui kad pengenalan, dompet, telefon, beg tangan Sherilynn dan anjing keluarga ini yang dalam keadaan lapar tapi masih hidup di bahagian belakang trak.
Selain itu, mereka turut menemui wang tunai sebanyak US$32,000 yang menjadi persoalan ekoran pasangan ini mempunyai masalah kewangan dan tak diketahui di mana mereka dapat wang sebanyak itu dan apa yang mereka mahu buat dengan wang tersebut.
Pihak polis mengesyaki yang kehilangan mereka mungkin disebabkan oleh dadah dan wang tersebut mungkin merupakan hasil pasangan ini membeli atau menjual dadah.
Tapi apa yang tak dapat dijelaskan, kenapa mereka bawa anak perempuan mereka bersama dan dari keadaan trak yang ditinggalkan itu, mereka tak pasti sama ada pasangan ini telah keluar secara suka rela atau dipaksa oleh seseorang dan mungkin mereka telah meninggalkan barang ketika dalam keadaan cemas.
Operasi pencarian telah dijalankan di mana pihak berkuasa telah mencari keluarga ini di dalam hutan di sekitar kawasan tersebut namun tak menemui apa-apa kesan keberadaan mereka.
Penemuan mayat keluarga Jamison empat tahun kemudian
Kes kehilangan keluarga Jamison tidak menemui apa-apa bukti baru sehinggalah pada 16 November 2013 apabila seorang pemburu telah terjumpa serpihan tengkorak dua dewasa dan seorang kanak-kanak di kawasan hutan yang terletak tiga batu dari penemuan trak mereka.
Pihak forensik mengesahkan bahawa tengkorak tersebut adalah milik keluarga Jamison tapi ekoran keadaan tengkorak yang telah mereput, mereka tak dapat mengetahui punca kematian mereka.
Dengan penemuan mayat ini, pihak polis telah menyiasat semula kes ini. Pertama, mereka telah menemui satu video CCTV pelik yang diambil di luar rumah keluarga Jamison pada malam mereka meninggalkan rumah tersebut. Pasangan ini dilihat telah keluar masuk dari rumah dan trak sambil mengemas barang-barang mereka.
Tak cukup dengan ini, sebelum mereka hilang, Bobby Dale telah bertemu dengan seorang paderi dan mendakwa yang rumah mereka berhantu dan terdapat dua hingga empat hantu di bumbung rumahnya.
Sherilynn juga turut membeli kitab Syaitan didakwa bertujuan untuk membuat lawak, namun Bobby mengaku kepada paderinya bahawa dia telah membaca kitab tersebut sehingga ada yang percaya terdapat unsur-unsur sihir sehingga menyebabkan kematian mereka.
Ibu Sherilynn, Connie Kokotan percaya bahawa keluarga Jamison telah bercampur dengan satu kultus dan mereka telah dibunuh oleh ahli kultus tersebut. Namun begitu, wanita ini tidak menamakan kultus itu dan tak ada bukti yang menyokong dakwaan tersebut.
Teori dan spekulasi
Sejak keluarga Jamison hilang dan penemuan mayat mereka, terdapat beberapa teori yang telah dibuat bagi menjelaskan apa yang berlaku kepada mereka, antaranya…
Ada beberapa teori mengatakan yang kematian keluarga Jamison ini mungkin merupakan kes bunuh-bunuh diri. Ini kerana, pihak polis telah menemui satu surat yang ditulis oleh Sherilynn kepada Bobby dalam keadaan marah.
Ini menyebabkan ada yang menyangka Bobby telah membawa semua keluarganya ke dalam hutan sebelum membunuh isteri, anak dan dirinya sendiri. Tapi teori ini tak dapat dibuktikan.
Teori lain mengatakan bahawa bapa Bobby, Bob Dean Jamison mungkin terlibat. Sebelum ini, Bobby pernah failkan arahan perlindungan ke atas bapanya dengan mendakwa lelaki itu telah mengugut untuk membunuh dia dan keluarganya.
Di dalam petisyen Bobby, dia mengatakan bahawa bapanya itu merupakan seorang yang merbahaya dan tak takut dengan undang-undang serta turut terlibat dalam aktiviti pelacuran, geng dan dadah.
Namun begitu, Bob Dean Jamison telah meninggal dunia dua bulan sebelum keluarga ini hilang serta turut mengalami masalah kesihatan yang teruk sebelum meninggal dunia.
Walaupun mayat keluarga ini telah berjaya ditemui, kes ini kekal menjadi salah satu kes yang tak dapat diselesaikan dan banyak persoalan yang tidak terjawab ini terus menarik minat penyiasat, wartawan dan peminat kes jenayah.
Sumber: ati