in

“Menangis tiap kali melihat gambar” – Abang Trauma Adik 5 Tahun Maut Dilanggar Van Sekolah

Abang Trauma Adik Maut Dilanggar Van 1

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Semalam berlaku satu kejadian menyayat hati apabila seorang murid perempuan berusia 5 tahun maut dilanggar sebuah van sekolah di hadapan kediamannya di Pasir Gudang, Johor.

Insiden itu berlaku ketika pemandu wanita menurunkan mangsa dan abangnya berusia 6 tahun dari van sekolah berkenaan kira-kira jam 11.35 pagi.


Menurut laporan, pemandunya meneruskan perjalanan selepas melihat abang mangsa turun dan melepasi belakang van sekolah terbabit serta beranggapan mangsa turut mengikutinya.

Katanya, semasa bergerak ke depan pemandu berkenaan terlanggar mangsa yang melalui hadapan van sekolah tanpa disedari sebelum kanak-kanak itu dikejarkan ke klinik.

Artikel berkaitan: Tular Video Budak Umur 2 Tahun Nyaris Dilanggar Kereta Sebab Main Tepi Jalan, Polis Buka Kes Siasatan

S

Menurut ibu mangsa, Karmin Kahil, sudah menjadi rutin bagi kedua anaknya iaitu Nurhafizah Nuljin dan Muhammad Afieq Miqhael memanggilnya selepas turun dari van sekolah pada jam 11 pagi setiap hari.

Namun, kejadian pada Rabu membuatkan dia berasa hairan kerana kedua-dua anaknya itu tidak memanggilnya seperti biasa sebaliknya hanya mendengar panggilan pemandu van yang memintanya keluar rumah bagi melihat keadaan anaknya.

“Pemandu van berkenaan menyatakan sudah melanggar anak saya sambil berulang kali meminta maaf.

“Saya menjadi panik dan buntu seketika melihat keadaan anak hingga pada awalnya menjangkakan Nurhafizah dirempuh kenderaan lain,” katanya.

Abang alami trauma

Susulan kejadian itu, Muhamaad Afieq mengalami trauma dan menangis setiap kali melihat gambar arwah adiknya.

“Kejadian mengakibatkan Muhammad Afieq trauma kerana dia melihat keadaan Nurhafizah hingga membuatkannya menangis setiap kali melihat gambar adiknya mahupun ketika kami bercerita kejadian yang meragut nyawa arwah,” kata Karmin.

Dalam pada itu, Karmin yang merupakan suri rumah berkata, dia masih tidak dapat melupakan kejadian menyayat hati menimpa anak bongsu daripada tujuh cahaya matanya itu.

Menurutnya, arwah mula menaiki van berkenaan sejak awal tahun ini manakala abangnya pula sejak tahun lalu dan kedua-dua beradik itu belajar di SK Seri Alam 2.

Pemandu van dibebaskan

Sementara itu, pemandu van sekolah yang ditahan semalam bagi membantu siasatan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, wanita berusia 50 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada pihak pendakwa raya bagi tujuan pendakwaan di mahkamah.

Sumber: Astro Awani, Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.